AWC menang tender subkontrak pusat data bernilai RM42.3 juta di Puncak Alam daripada Gamuda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC menang tender subkontrak pusat data bernilai RM42.3 juta di Puncak Alam daripada Gamuda

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Dis - AWC Berhad melalui anak syarikat milik penuh, Qudotech Sdn Bhd menerima surat pelantikan rasmi daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja subkontrak.


Kumpulan tersebut berkata, tender berkenaan bagi sistem air sejuk, sistem pemungutan air hujan dan sistem sanitari bagi pusat data yang berskala besar di Eco Business Park V, Puncak Alam, Selangor.


Kontrak yang bernilai RM42.3 juta ini sudah bermula pada 8 Disember 2025 dan siap sepenuhnya menjelang 28 Februari 2027 bagi Fasiliti 1, manakala Fasiliti 2 pula dijangka siap pada 1 September 2027.


"Ini merupakan kontrak kedua yang diperoleh AWC daripada pelanggan yang sama, selepas pembangunan projek pusat data pertama dapat disiapkan pada bulan lalu," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden AWC Berhad, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, kumpulan tersebut menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan daripada Gamuda.


Syarikat berkenaan turut yakin bahawa Divisyen Kejuruteraan bersedia untuk menyiapkan projek ini mengikut jadual walaupun saiz kontrak adalah lebih dua kali ganda daripada projek yang pertama.


Dengan kemenangan kontrak terbaharu itu, kesemua divisyen utama AWC iaitu Fasiliti, Alam Sekitar, Kejuruteraan, dan Rel, sudah memperoleh kontrak baharu bagi FY26, mengukuhkan prospek kumpulan.


"Kami mendapati, peluang dalam sektor pusat data di Malaysia sebenarnya masih luas belum diteroka lagi, memandangkan potensi industri ini berada pada tahap awal pembangunan," tambah Ahmad Kabeer. 


Setakat September 2025 jelasnya, baki tempahan AWC sudah berjumlah RM528 juta, tidak termasuk sebanyak tujuh kontrak baharu bernilai RM412.3 juta yang diperoleh selepas 30 September 2025. 


Kemenangan kontrak terkini menjadikan jumlah kumulatif kontrak FY26 melebihi RM424 juta, memberi kejelasan pendapatan untuk tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com