KUALA LUMPUR 30 Dis – AwanBiru Technology Berhad (Awantec) memperoleh sejumlah dua kontrak berbeza dengan nilai keseluruhan RM16.42 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kumpulan penyedia rumusan teknologi tempatan itu berkata, tender berkenaan bagi pembekalan alat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) Google kepada universiti-universiti awam di negara ini.
Awantec merupakan penyedia perkhidmatan terurus bagi Google Cloud Malaysia. Kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn Bhd, pada 26 Disember 2025.
"Kontrak pertama bernilai RM10.62 juta melibatkan penyediaan alat AI kepada pelajar, manakala yang kedua pula iaitu RM5.8 juta untuk pensyarah dan pentadbir universiti," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Skop perkhidmatan tender berkenaan jelasnya, merangkumi penyediaan NotebookLM Enterprise serta Gemini untuk Google Workspace, yang akan digunakan oleh pelajar, tenaga pengajar dan pentadbir.
Selain itu, kedua-dua kontrak baharu tersebut tambah Awantec, mempunyai tempoh kerja selama 13 bulan yang akan bermula pada 1 Januari 2026 hingga 31 Januari 2027.
Menurutnya, pelaksanaan ini bertujuan memperkasakan ekosistem sedia ada Google Workspace for Education di universiti awam melalui integrasi ciri pembelajaran dan produktiviti berasaskan AI.
“Inisiatif ini menyokong agenda transformasi digital KPT bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, serta produktiviti penyelidikan akademik,” katanya. - DagangNews.com








