KUALA LUMPUR 4 Nov – Avaland Berhad yang kini berada di bawah kawalan majoriti pemaju terbesar Filipina, Ayala Land Inc, bakal memasuki fasa pertumbuhan pesat, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, ia selepas syarikat hartanah tempatan tersebut berjaya mencatatkan rekod keuntungan bersih yang tertinggi dalam sejarah kumpulan bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
Tambahnya, Avaland ketika ini berada pada landasan kukuh hasil daripada usaha strategi penjenamaan semula pada 2023, langkah penambahbaikan operasi dan perolehan tanah tambahan baharu lebih pantas.
"Kami memulakan liputan ke atas syarikat ini dengan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) 30 sen sesaham, disandarkan pada diskaun 60% kepada nilai buku," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Prospek itu sejajar dengan penilaian rakan setara sektor hartanah dan menjangka saham Avaland ada potensi kenaikan sekitar 25%, dipacu asas pendapatan stabil serta jualan belum dibil yang tinggi.
Katanya, dengan jualan belum dibil RM787 juta (1.5 kali hasil FY23), kumpulan itu disokong bank tanah strategik bernilai RM11.6 bilion dan projek bernilai RM1.5 bilion yang dirancang pada 2025.
Avaland jelas PublicInvest, mampu menawarkan keseimbangan antara keterlihatan pendapatan secara jangka pendek dan pertumbuhan dalam jangka panjang yang stabil kepada para pelabur sahamnya.
"Pada FY24, ia mencatatkan hasil RM893.6 juta dan keuntungan bersih RM98.9 juta, naik 50% tahun ke tahun, menandakan pemulihan kukuh selepas tempoh pandemik yang menekan sektor hartanah," katanya.
Peningkatan ini jelasnya, dijana kemajuan pembinaan dan permintaan kukuh projek baharu seperti Casa Embun Fasa 2, Amika Residences, Aetas Seputeh, serta Anja Residences & Signature Retail.
Sejak penjenamaan semula daripada MCT Berhad kepada Avaland katanya, empat projek bernilai RM1.7 bilion dan strategi perolehan tanah berpotensi bagi pembangunan pantas berjaya dilaksanakan.
Antaranya kata PublicInvest termasuk tanah berkeluasan 0.89 hektar di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor bernilai RM49 juta dan 1.29 hektar di Jalan Putra, Kuala Lumpur bernilai RM149 juta.
"Kedua-duanya dijangka menambah nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion dan secara keseluruhan, Avaland kini memiliki 76 hektar tanah simpanan dengan GDV RM11.6 bilion," tambah firma tersebut.
Situasi itu cukup untuk pembangunan dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun akan datang, manakala dari segi strategi korporat pula, penglibatan Ayala Land sejak 2018 turut memainkan peranan penting.
Usaha itu kata PublicInvest, memperkukuh keupayaan pengurusan kerana selepas mengambil alih 66% ekuiti syarikat, Ayala Land membawa kepakaran pembangunan bersepadu yang lebih berskala besar.
Ia menerapkan disiplin model operasi mampan dalam setiap projek Avaland, serta menyusun semula produk di bawah segmen AVA Ria (mampu milik), AVA Prime (pertengahan), dan AVA Luxe (mewah).
“Transformasi di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Apollo Bello Tanco mengubah Avaland daripada pemain kecil berprestasi sederhana kepada pemaju berkecekapan operasi tinggi," katanya.
PublicInvest menilai portfolio seimbang dan rekod jualan kukuh disokong strategi Ayala Land, dengan pandangan positif terhadap prospek jangka sederhana Avaland dalam FY25 dan FY26. - DagangNews.com








