KUALA LUMPUR 28 April – Avaland Berhad mengambil alih tiga lot tanah berstatus pegangan bebas di Taman U-Thant di ibu negara, dengan pertimbangan tunai yang mencecah jumlah RM86.04 juta.
Proses urus niaga berkenaan melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Nexus Advertising Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Tong Ah Company Sdn Bhd (TACSB).
Menurut kumpulan berkenaan, tanah seluas kira-kira 7,612.63 meter persegi itu diambil alih dengan harga pembelian berdasarkan kaedah penjual dan pembeli bersama-sama setuju secara sukarela.
"Ia diputuskan setelah kedua-dua pihak mengambil kira nilai pasaran tanah yang dinilai sebanyak RM88.0 juta oleh firma penilaian hartanah bebas, CBRE," maklum Avaland kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan pemaju berkenaan merancang untuk membangunkan projek kediaman bertingkat mewah di lokasi strategik tersebut, dengan anggaran awal nilai pembangunan kasar (GDV) yang sebanyak RM700 juta.
Langkah ini juga tambahnya, adalah selaras dengan objektif strategik jangka panjang kumpulan itu untuk memperkukuh dan memperluaskan kehadirannya dalam segmen kediaman mewah di Lembah Klang.
Usaha berkenaan kata Avaland, susulan kejayaan projek mewah syarikat tersebut sebelum ini iaitu Aetas Damansara dan Aetas Seputeh yang mendapat sambutan luar biasa daripada pasaran tempatan.
"Ia terletak di kawasan elit yang eksklusif dan berkepadatan rendah, dengan akses melalui Jalan Ampang dan Lebuhraya AKLEH, serta hanya dua kilometer dari KLCC," jelas kenyataan tersebut.
Pembelian ini akan dibiayai melalui kombinasi dana dalaman dan pinjaman bank, dengan projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan dan memperkukuh pembangunan syarikat.
Di samping itu ujarnya, tanpa diambil kira sebarang keadaan luar jangka, cadangan pengambilalihan ini dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun 2027. - DagangNews.com








