Aurelius Technologies berdepan pemulihan lebih lama, Apex Securities turunkan unjuran kewangan hingga FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aurelius Technologies berdepan pemulihan lebih lama, Apex Securities turunkan unjuran kewangan hingga FY28

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Sept — Pemulihan Aurelius Technologies Berhad dikhuatiri mengambil masa lebih lama, menyebabkan Apex Securities menurunkan unjuran kewangan dan penarafan saham syarikat itu.

 

Situasi lemah berkenaan ujar firma penyelidikan itu, berikutan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit dan gangguan rantaian bekalan terus menekan pendapatan serta keuntungan. 

 

Keuntungan bersih teras kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 merosot 35.1% kepada RM23 juta, hanya mewakili 40% daripada unjurannya bagi FY26 dan sebanyak 37% daripada konsensus pasaran.

 

"Prestasi ini turut mendorong kami kekal berhati-hati terhadap prospek Aurelius Technologies pada 2HFY26, walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan hasil," kata analisis Apex Securities.

 

Pada 2QFY26, hasil naik kepada RM141.5 juta, dipacu peningkatan pengeluaran segmen terbesarnya, iaitu produk komunikasi dan Internet Benda (IoT), namun keuntungan bersih susut kepada RM11.2 juta.

 

Secara tahunan, hasil 2QFY26 merosot 13.2%, dan keuntungan bersih jatuh 44.4%, berikutan gangguan rantaian bekalan menjejaskan pengeluaran serta kelemahan dolar AS mengurangkan nilai hasil eksport. 

 

Bagi 1HFY26 ujar Apex Securities, hasil Aurelius Technologies jatuh 12.5% kepada RM271.9 juta, manakala keuntungan bersih berkurang kepada RM23 juta daripada RM35.5 juta setahun sebelumnya.

 

Aurelius_DagangNews2026

 

"Buku tempahan RM472.3 juta setakat 10 Ogos 2026 namun memberikan keterlihatan hasil dalam tempoh terdekat dengan tiada penjadualan semula atau pembatalan material dilaporkan setakat ini," katanya.

 

Bagaimanapun, sebahagian besar kontrak bergantung kepada pelanggan automotif dan kini berada pada peringkat pengeluaran komersial, manakala produk berkaitan IoT masih lagi peringkat prakomersial.

 

Apex Securities turut melihat pengembangan perniagaan plastik berketepatan tinggi sebagai pemacu pertumbuhan Aurelius Technologies dengan pembinaan kilang dijangka bermula pada lewat 4QFY26.

 

Sementara itu ujar firma penyelidikan berkenaan, segmen automotif pula dijangka dapat membantu mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan, walaupun sumbangannya masih dalam fasa peningkatan.

 

"Susulan tekanan kadar tukaran asing dan gangguan bekalan, kami mengurangkan unjuran keuntungan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing kepada RM41.6 juta, RM56.8 juta dan RM61.1 juta," jelasnya.

 

Justeru, Apex Securities menurunkan penarafan saham Aurelius Technologies daripada ‘beli’ kepada ‘pegang’ dan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 72 sen berbanding 87 sen sesaham sebelum ini.

 

Penilaian itu mengambil kira kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 0.55 sen sesaham yang mencecah jumlah keseluruhan RM7.2 juta. - DagangNews.com