ATPC jalin kerjasama serantau laksana projek tenaga dan infrastruktur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ATPC jalin kerjasama serantau laksana projek tenaga dan infrastruktur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Agape ATP Corp (ATPC), yang tersenarai di Nasdaq menerusi ATPC Green Energy Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Global Strategic Solutions LLC (GSS) dan syarikat Vietnam, BM Trading Services Company Ltd (BMT), untuk melaksanakan inisiatif utama dalam bidang tenaga dan infrastruktur.

 

Kerjasama itu merupakan langkah penting dalam pengembangan ATPC ke dalam projek-projek tenaga dan infrastruktur berskala besar di seluruh Asia Tenggara, Afrika, dan Eropah Timur.

 

Jalinan kerjasama tiga hala itu akan memajukan inisiatif dalam perdagangan petroleum, peralihan tenaga, dan pembangunan infrastruktur di pasaran membangun dengan memanfaatkan kepakaran teknikal, operasi, dan strategi yang digabungkan daripada semua pihak terlibat.

 

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global kumpulan, Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, kerjasama itu merupakan sinergi kukuh bagi menangani cabaran kompleks dalam sektor itu.

 

“Dengan menggabungkan kekuatan teknikal, operasi, dan strategi sedia ada, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk melaksanakan projek-projek transformatif yang mampu meningkatkan taraf hidup dan merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mempercepatkan penerimaan rumusan mampan di pasaran membangun,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Firma GSS yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, inisiatif ini membuka peluang menarik untuk melaksanakan rumusan tenaga dan infrastruktur yang menangani keperluan mendesak di pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan, terutamanya melalui kepakarannya dalam pendigitalan, infrastruktur, dan penglibatan kerajaan.

 

BMT, yang mempunyai kehadiran kukuh di seluruh Asia Tenggara, memberi tumpuan kepada memudahkan perdagangan rentas sempadan dan menyelaraskan inisiatif perniagaan strategik, dengan menghubungkan peluang perniagaan Vietnam ke pasaran antarabangsa.

 

Perjanjian itu merangkumi klausa eksklusiviti selama tiga tahun pada peringkat awal, yang akan diperbaharui secara automatik untuk tempoh setahun bagi setiap pusingan berikutnya, melibatkan projek-projek dalam wilayah yang telah dipersetujui.

 

Di bawah perjanjian itu, ATPC akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan, serta khidmat nasihat teknikal, khususnya dalam tenaga bersih dan infrastruktur perdagangan petroleum.

 

GSS akan menerajui proses mengenal pasti projek, penilaian teliti (due diligence), dan penglibatan pelabur merentasi pelbagai bidang kuasa.

 

BMT pula akan bertindak sebagai pemudahcara komersial di lapangan, menguruskan penyusunan urus niaga, mengemudi peraturan dan pelaksanaan projek dalam sektor seperti diesel, pendigitalan, hidrogen, dan logistik. - DagangNews.com