KUALA LUMPUR 10 Mac - Semua kereta kebal utama (MBT) PT-91M Pendekar milik Tentera Darat akan menjalani Program Pelanjutan Hayat (LEP) supaya boleh dioperasikan sehingga tahun 2042.
Perkara ini dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.
Menurut laporan laman web pertahanan Air Times News Network, program LEP ini dirancang dilaksanakan pada tahun 2027 menggalakkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Mohamed Khaled menjawab pertanyaan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) yang meminta pKementerian Pertahanan menjelaskan rancangan masa hadapan kelangsungan PT-91M Pendekar.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu turut bertanyakan adakah pihak Kementerian Pertahanan mengambil prestasi buruk keupayaan MBT dalam perang antara Ukraine Rusia.
Menurut Mohamed Khaled, pelaksanaan LEP ini akan dapat memanjangkan hayat kereta kebal tersebut sehingga 15 tahun dengan kos yang lebih rendah berbanding pembelian baharu.
Tentera Darat telah mengoperasikan 48 buah MBT PT-91M Pendekar buatan Bumar Labedy, Poland sejak tahun 2007 bagi menggantikan Scorpion.



Ketika ini PT-91M Pendekar dioperasikan oleh Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja sebagai satu-satunya rejimen tank dalam Briged Mekanise.
Tentera Darat melaksanakan konsep ‘heavy mekanise’ kerana memiliki jumlah kenderaan perisai tempur yang banyak berbanding kereta kebal iaitu lebih 400 buah.
Ia meliputi pelbagai varian seperti IFV Gempita 8x8, ACV Adnan dan MIFV K200 yang menjadi tulang belakang pertahanan bagi pertempuran di darat.
Dua negara jiran terdekat pula mempunyai jumlah kereta kebal lebih banyak berbanding Malaysia iaitu 170 buah (Singapura) dan lebih 400 Thailand.


PT-91M yang dibina khusus untuk ATM berasaskan kereta kebal PT-91 Poland yang mana kerangkanya adalah daripada T-72 buatan Rusia.
T-72 adalah kereta kebal lagenda era Soviet dan menjadi MBT paling banyak dihasilkan di dunia oleh pelbagai negara blok Eropah Timur selain China.
Ia juga menjadi asas kepada beberapa varian kereta kebal moden lain seperti T-90 dan T-84.
Semasa mula digunakan pada 2007, PT-91M Pendekar merupakan kereta kebal paling moden di Asia Tenggara kerana memiliki sistem persenjataan dan pertahanan yang baik.
Memandangkan rekaan Pendekar adalah milik Malaysia maka ada perancangan semasa itu untuk ATM membeli lebih banyak MBT ini bagi memperkasakan rejimen tank.

Ini termasuk menempatkan sebuah rejimen di Malaysia Timur bagi pertahanan sebelah sana.
Bagaimana pun, tiada pembelian tambahan dilakukan oleh kerajaan.
Hari ini MBT negara jiran Singapura iaitu Leopard 2SG Singapura dan VT4 milik Thailand mempunyai keupayaan lebih baik berbanding PT-91M Pendekar.
Justeru, kerajaan perlu melaksanakan pembelian MBT baharu kerana rekaan dan teknologi sedia ada pada PT-91M Pendekar agak ketinggalan.

Pembelian MBT baharu berteknologi moden boleh digandingkan dengan PT-91M Pendekar untuk melonjakkan keupayaan tempur di darat.
Ini kerana kereta kebal masih penting dalam taktik peperangan sebagai penukul medan tempur. - DagangNews.com







