Atlas Copco labur 8 angka buka pusat operasi serantau di Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Atlas Copco labur 8 angka buka pusat operasi serantau di Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 April – Kumpulan Atlas Copco memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan ibu pejabat baharu dan pusat operasi bersepadu seluas 120,000 kaki persegi di Alam Impian, Shah Alam yang berfungsi sebagai pusat operasi serantau bagi Malaysia dan Asia Tenggara.

 

Pusat operasi di atas kawasan kira-kira tiga ekar itu dibangunkan melalui pelaburan bernilai 8 angka yang mengukuhkan komitmen jangka panjang kumpulan berkenaan terhadap Malaysia sejak mula bertapak pada tahun 1982.

 

Atlas Copco Group menjelaskan ia bukan kilang pengeluaran, sebaliknya adalah pusat pentadbiran, penyelarasan operasi dan sokongan teknikal bagi pelbagai pasaran di rantau ini.

 

“Selain Malaysia, pusat ini turut berperanan menyelaras operasi di Kuantan, Pulau Pinang dan Johor, di samping menyokong pasaran Asia Tenggara melalui sistem pengurusan yang lebih tersusun dan efisien.

 

“Fungsi utamanya merangkumi operasi perniagaan, perkhidmatan pelanggan, sokongan teknikal serta pusat kewangan berkongsi serantau bagi memudahkan urusan pelbagai negara dalam kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Teknik Pemampat Atlas Copco Malaysia dan Singapura, Khalid Shaikh berkata syarikat itu bermula dengan hanya 10 pekerja pada tahun 1982 dan kini berkembang kepada lebih 250 pekerja, mencerminkan pertumbuhan berterusan di Malaysia.

 

Beliau berkata kemudahan baharu ini turut menyokong pembangunan bakat tempatan melalui penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan, jualan dan pemasaran.

 

Ketika ini, pusat berkenaan menempatkan 273 pekerja dan syarikat merancang untuk menambah antara 80 hingga 100 pekerja baharu dalam tempoh lima tahun akan datang selaras dengan perkembangan operasi serantau.

 

Lokasi Shah Alam dipilih kerana kedudukannya yang berhampiran kawasan perindustrian utama, Pelabuhan Klang serta akses mudah ke Kuala Lumpur dan rangkaian lebuh raya, sekali gus meningkatkan kecekapan logistik dan perkhidmatan.

 

Kemudahan ini juga dilengkapi elemen kelestarian seperti penggunaan tenaga lebih cekap dan reka bentuk ruang kerja moden bagi menyokong persekitaran kerja yang lebih kolaboratif dan mampan.

 

Pelaksanaan pelaburan ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menekankan pembangunan industri bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pengukuhan keupayaan tenaga kerja tempatan.

 

Secara keseluruhan, pembukaan pusat baharu ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab operasi serantau bagi syarikat global, di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor perkhidmatan industri dan teknologi. - DagangNews.com