Astino beli tanah di Seberang Perai berharga RM30.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astino beli tanah di Seberang Perai berharga RM30.4 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 April — Astino Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Astino (Malaysia) Colour Steel Sheets Sdn Bhd membeli sebidang tanah berkeluasan hampir sembilan hektar di Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan harga RM30.4 juta.


Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, perjanjian jual beli tanah kosong berstatus pegangan bebas itu dimeterai melibatkan sekumpulan individu yang memiliki kawasan berkenaan tanpa ada liabiliti yang akan ditanggung oleh syarikat.


Pengambilalihan melibatkan pembayaran secara berperingkat dengan deposit RM3.04 juta yang diuruskan oleh peguamcara vendor sebagai pemegang kepentingan manakala baki RM27.37 juta perlu dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perintah mahkamah.


Astino dijangka menyelesaikan urus niaga tersebut daripada dana dalaman namun proses pengambilalihan itu tidak akan pula menyebabkan sebarang keuntungan atau kerugian material ke atas pendapatan syarikat pembuatan produk bahan binaan berkenaan.


Ia turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama dan orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama syarikat mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam pengambilalihan tanah tersebut.


Proses pembelian itu juga kata syarikat berkenaan, tidak tertakluk kepada kelulusan oleh pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan yang lain kecuali sekiranya diperlukan ada kelulusan daripada pihak berkuasa negeri itu.


Lembaga Pengarah Astino berpendapat setelah mengambil kira semua aspek, pembelian bersifat pelaburan itu adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dengan terma dan syarat adalah adil, selain tidak menjejaskan pemegang saham minoriti. - DagangNews.com