KUALA LUMPUR 9 Sept – Asteel Holdings Berhad, melalui anak syarikat miliknya, Asteel Synergy Sdn Bhd (ASYN) menerima kontrak yang bernilai kira-kira RM10.1 juta daripada EC Bina Sdn Bhd.
Tender terbaharu itu bagi pelaksanaan kerja-kerja pembekalan, penghantaran dan pemasangan kemasan bumbung untuk pembangunan kilang di Mukim Tanjung Duabelas, Daerah Kuala Langat, Selangor.
Kontrak tersebut yang diterima ASYN hari ini kata syarikat itu, disifatkan sebagai satu langkah strategik yang akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh akan datang.
"Projek ini turut melibatkan aktiviti pengujian dan pengoperasian sistem kemasan bumbung serta pelbagai kerja yang berkaitan," kata Asteel dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Ia meliputi 157 unit bangunan kilang dengan tempoh pelaksanaan kontrak ditetapkan selama lapan bulan, bermula 17 Ogos 2025 tertakluk kepada terma Perjanjian Pembinaan utama dan dokumen tender.
ASYN, yang ditubuhkan pada 22 Januari 2020, berpengalaman luas dalam pembuatan dan penjualan produk keluli bersalut, bumbung logam, serta perkhidmatan pembinaan bumbung dan rangka keluli.
Kata Asteel, penglibatan syarikat berkenaan dalam projek besar tersebut dijangka mampu mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam sektor industri pembinaan dan pembekalan bahan binaan di Malaysia.
"Meskipun projek ini tidak memberi kesan ketara kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama, ia dijangka dapat menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan," tambahnya.
Perkembangan itu termasuk pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan yang akan datang dan Lembaga Pengarah Asteel menyifatkan, ia menambah nilai kepada profil rujukan projek syarikat.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuklah ketersediaan tenaga kerja mahir, bahan binaan, keadaan cuaca serta faktor ekonomi dan politik yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek.
Bagaimanapun tambah kenyataan kumpulan berkenaan, tiada sebarang konflik kepentingan dilaporkan melibatkan mana-mana individu yang tertentu dalam proses penganugerahan projek tersebut.
“Setelah meneliti semua aspek berkaitan, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa projek ini adalah selaras dengan kepentingan komersial ASYN dan kumpulan Asteel secara keseluruhan,” katanya.
Dengan pengalaman dan keupayaan teknikal dimiliki, ASYN dijangka mampu melaksanakan projek ini dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor perindustrian. - DagangNews.com








