KUALA LUMPUR 6 Okt – Asteel Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Asteel (Sarawak) Sdn Bhd (ASWK), memperoleh keputusan yang memihak kepada mereka dalam satu prosiding tuntutan.
Kumpulan tersebut berkata, perkara berkenaan melibatkan tuntutan di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA) terhadap Dynaciate Engineering Sdn Bhd.
Lembaga Pengarah memaklumkan yang ASWK menerima keputusan adjudikasi bertarikh 3 Oktober 2025, dengan beberapa ketetapan, antaranya Dynaciate diarahkan membayar RM1,792,945.21 kepada ASWK.
"Selain itu faedah mudah 5% setahun ke atas RM1,679,380.16, mulai 4 Oktober 2025 sehingga selesai dan bayaran kos prosiding sebanyak RM81,161.70 kepada ASWK," maklum Asteel kepada Bursa Malaysia.
Kes tersebut berpunca daripada isu pertikaian mengenai pembayaran berkaitan kerja pembinaan yang sudah lama diselesaikan oleh ASWK dan ia mengemukakan prosiding adjudikasi terhadap Dynaciate.
Berdasarkan pengumuman Asteel yang bertarikh 16 Jun 2025, isu tersebut berkait dengan perjanjian sub-kontrak yang pernah ditandatangani pada 14 Mac 2022, 14 Jun 2022, dan 1 Disember 2022.
Ia membabitkan kerja‑kerja pembinaan untuk projek Sarawak Methanol iaitu projek mega bahan kimia dibangunkan di Bintulu, Sarawak, yang memberi fokus kepada pengeluaran methanol berskala besar
Dalam pada itu, pengurusan Asteel menerusi kenyataan turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan diberitahu dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








