KUALA LUMPUR 27 Mac - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM2.18 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 untuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah dividen ASB 2 diisytiharkan sebanyak RM0.73 bilion, bersamaan 5.50 sen seunit kepada 614,309 pemegang unit yang kini memiliki 14.12 bilion unit.
Sementara ASM pula katanya, adalah sebanyak RM1.45 bilion, iaitu bersamaan 5.00 sen seunit kepada seramai 740,513 pemegang unit skim amanah harga tetap berkenaan dengan pegangan yang mencecah jumlah 29.14 bilion unit.
"Sehingga 20 Mac 2025, ASB 2 berjaya merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.80 bilion, manakala ASM mencatatkan sehingga RM1.55 billion," kata ASNB dalam kenyataan tersebut.
Ia menambah, walaupun berdepan persekitaran pasaran modal global yang mencabar ekoran ketegangan tarif, inflasi tinggi serta ketidaktentuan ekonomi, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM masih mencatat peningkatan 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu.
Dua dana berkenaan juga telah menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu, mencerminkan komitmen PNB untuk meningkatkan pulangan dan memperkukuh daya tahan portfolio.
Pengagihan kali ini adalah bersamaan dengan jumlah pulangan ASB 2 dan ASM masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.56 peratus sebanyak 294 mata asas untuk ASB 2 dan 244 mata asas untuk ASM.

Prestasi kukuh kedua-dua dana harga tetap ini didorong oleh pulangan ekuiti domestik dan global yang positif serta strategi kepelbagaian aset berterusan merentasi geografi dan kelas aset.
Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten," kata kenyataan tersebut.
Pengiraan dividen berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana. Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2025.
Urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan-cawangan dan ejen-ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian serta perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac 2025 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2025, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 2 April 2025, tertakluk pada perubahan Hari Raya Aidilfitri.
PNB dan ASNB juga katanya, akan melancarkan dua kempen baharu, sebagai sebahagian daripada fokus berterusan dalam menggalakkan literasi kewangan serta membantu rakyat Malaysia membina kekayaan.
'Labur Tanda Kasih’ memberi ganjaran kepada pelabur yang menetapkan Auto Labur di myASNB, manakala ‘Labur Ceria Si Cilik’ menggalakkan ibu bapa melabur dalam ASB atau ASB 2 bagi akaun anak-anak untuk memupuk tabiat menabung sejak usia muda. - DagangNews.com








