ASM 2 Wawasan isytihar agihan pendapatan RM1.18 bilion, 4.75 sen seunit ke atas 983,505 pemegang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASM 2 Wawasan isytihar agihan pendapatan RM1.18 bilion, 4.75 sen seunit ke atas 983,505 pemegang

Foto ihsan ASNB
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM1.18 bilion untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025.


Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, pengagihan ini bersamaan 4.75 sen seunit, memanfaatkan 983,505 pemegang unit dengan jumlah pegangan sebanyak 25.5 bilion unit.


Ia sekali gus mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 4.75%, yang turut mengatasi penanda arasnya iaitu pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.46% sebanyak 229 mata asas.


Prestasi ASM 2 Wawasan dianggap memberangsangkan memandangkan cabaran dalam pasaran ekuiti domestik, terutamanya sepanjang separuh pertama 2025 apabila FBM KLCI merekodkan pulangan -3.5% setahun sehingga 26 Ogos 2025.


"Walaupun berdepan dengan suasana tidak menentu, dana ini masih lagi mengekalkan agihan kompetitif 4.75 sen seunit, sama seperti tahun sebelumnya," kata ASNB dalam satu kenyataan hari ini.


Ia menjelaskan bahawa dana mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM1.24 bilion setakat 25 Ogos 2025, hasil daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen menerusi portfolio yang pelbagai meliputi ekuiti domestik dan global.

 

ASNB
Foto ihsan ASNB


Prestasi ASM 2 Wawasan tambah syarikat itu, mencerminkan strategi pelaburan berdisiplin dan pengurusan risiko kukuh oleh PNB, selain sokongan daripada struktur portfolio yang teguh dan pelbagai.


Dana tersebut juga katanya, meningkatkan peruntukan kepada pendapatan tetap dan aset global, selaras dengan Sasaran Perumpukan Aset Strategik.


"Sebahagian dana turut dilaburkan dalam hartanah dan ekuiti persendirian, bagi memperkukuh lagi daya tahan dan kepelbagaian portfolio jangka panjang," katanya.


Pengiraan agihan pendapatan ASM 2 Wawasan tambahnya, akan dibuat berdasarkan purata baki bulanan minimum sepanjang tahun kewangan. 


Proses pengagihan pula akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2025.


Urus niaga bagi ASM 2 Wawasan akan digantung sementara pada 30 dan 31 Ogos 2025 bagi tujuan pengiraan agihan.


"Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB iaitu www.myasnb.com.my atau laman web http://www.myasnb.com.my dan aplikasi mudah alih myASNB mulai 1 September 2025, atau di cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2025," katanya.


Berikutan prestasi kukuh ASM 2 Wawasan, ASNB turut mengumumkan pelancaran rasmi ASNB COVR, sebuah pelan patuh Syariah yang menggabungkan pelaburan dalam dana ASNB dengan perlindungan Takaful daripada Takaful Ikhlas Family Berhad.


Pelancaran kata ASNB, akan dilaksanakan pada 30 Ogos 2025 semasa acara **Fiesta Gen Labur di Merdeka Boulevard at 118, di ibu negara.


Inisiatif ini adalah sebahagian daripada visi jangka panjang ASNB melalui kempen ‘Kita Generasi Labur’, yang bertujuan melahirkan generasi pelabur yang celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. - DagangNews.com