Asia Digital Engineering terima kelulusan penyelenggaraan, pembaikan daripada EASA, FAA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asia Digital Engineering terima kelulusan penyelenggaraan, pembaikan daripada EASA, FAA

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Mei — Asia Digital Engineering (ADE) memperoleh kelulusan sebagai Organisasi Penyelenggaraan (EASA.145.0967) daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), dan Sijil Stesen Pembaikan (ADNY458E) daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat.

 

Pensijilan berkenaan menunjukkan kepatuhan menyeluruh ADE terhadap piawaian keselamatan, kelayakan udara, dan operasi antarabangsa yang menjadikan syarikat itu kini diiktiraf secara rasmi oleh EASA dan FAA sebagai organisasi yang layak menyelenggara dan melepaskan pesawat, alat ganti serta komponen kembali ke perkhidmatan.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kejayaan itu merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja buat ADE, malah kepada sektor aeroangkasa Malaysia secara keseluruhan.

 

"Tahniah kepada ADE atas kejayaan meraih pensijilan daripada dua pihak berkuasa penerbangan paling berprestij di dunia.

 

"Ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk memenuhi dan melepasi piawaian antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penyelenggaraan penerbangan bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak penubuhannya 2020, ADE telah melaksanakan lebih 180 pemeriksaan penyelenggaraan asas dalam tempoh kurang empat tahun iaitu satu rekod cemerlang yang menunjukkan kepantasan dan kualiti perkhidmatan syarikat.

 

ADE turut diiktiraf sebagai organisasi penyelenggaraan diluluskan (AMO) di 10 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Kemboja, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Nepal, Thailand, dan Myanmar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain utama MRO serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk memperluaskan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan antarabangsa.

 

"Walaupun kami masih menjadi MRO utama untuk AirAsia, kami kini menyokong pelbagai syarikat penerbangan lain di rantau ini dan peringkat global dengan penyelenggaraan yang selamat, berkualiti tinggi, dan bertaraf dunia," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, pencapaian pensijilan EASA dan FAA itu membuktikan keupayaan bakat tempatan bersaing di peringkat global.

 

"Pensijilan ini bukan sahaja kejayaan besar bagi ADE, malah untuk Malaysia dan industri penerbangan ASEAN. Bakat tempatan terbukti mampu menandingi yang terbaik di dunia," ujarnya.

 

Syarikat telah melakar kejayaan besar dengan pelancaran hangar MRO 14-line terbesar dan paling canggih di Malaysia pada 2024.

 

Menjelang suku ketiga tahun ini, ADE dijangka melancarkan fasiliti baharu RedChain 2, pusat latihan, dan bengkel khusus yang akan memperkukuh pembangunan bakat serta ekosistem syarikat.


 
Dengan pengiktirafan EASA dan FAA, ADE kini bersedia meluaskan jangkauan antarabangsa sebagai rakan MRO pilihan syarikat penerbangan global.- DagangNews.com