KUALA LUMPUR 10 Sept 2025 – Asia Digital Engineering (ADE) melakar kejayaan antarabangsa apabila menandatangani perjanjian jangka panjang bersejarah dengan operator penerbangan global, Air France.
Syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) milik Capital A itu berkata, ia akan terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan berat dan pengubahsuaian armada pesawat Airbus A330.
Di bawah kontrak perjanjian ini, ADE memulakan pemeriksaan penyelenggaraan berat terhadap pesawat milik Air France bermula Oktober 2025, dengan kerja-kerja tambahan dilaksanakan secara berperingkat.
Kerjasama MRO secara julung kali itu tambahnya, dijangka mampu berkembang secara positif serta melibatkan lebih banyak pesawat syarikat penerbangan Perancis tersebut dalam tempoh akan datang.
Majlis pemeteraian perjanjian berkenaan disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar, dan Naib Presiden Eksekutif Air France Industries, Géry Mortreux di ibu negara hari ini.
Acara tersebut turut disaksikan sendiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz serta Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau.
Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, Malaysia berada pada posisi strategik untuk muncul sebagai hab MRO pesawat serantau berikutan pertumbuhan pesat sektor pelancongan dan trafik udara global.
“Dengan ekosistem aeroangkasa yang cukup mantap dan dasar pertumbuhan jelas, Malaysia sebenarnya sudah pun bersedia untu menjadi pusat MRO pilihan di rantau Asia Pasifik,” kata beliau.
Sementara itu, Mortreux menyifatkan ADE sebagai rakan strategik berkelayakan tinggi dan mematuhi piawaian ketat Eropah, serta jaminan penyelenggaraan cekap dan minimum gangguan operasi pesawat.
Dalam pada itu, Mahesh pula menyatakan, kerjasama kali ini dengan Air France merupakan detik penting buat industri MRO Malaysia dan ASEAN sendiri selain melibatkan model terbaharu Airbus.
“Diberi kepercayaan oleh Air France membuktikan keupayaan tinggi ADE serta daya saing rantau ini dalam kami menawarkan perkhidmatan aeroangkasa bertaraf global,” tambah beliau.
Sejak ditubuhkan pada 2020, ADE berjaya melaksanakan lebih 180 pemeriksaan penyelenggaraan asas, dan kini memiliki pensijilan EASA dari Eropah serta pensijilan FAA dari Amerika Syarikat (AS).
Pada masa sama, ADE juga diiktiraf sebagai Pertubuhan Penyelenggaraan Diluluskan (AMO) yang meliputi sejumlah 10 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, India dan Vietnam.
Perjanjian ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau, malah membuka laluan baharu bagi kerjasama MRO antara Eropah dan Asia. - DagangNews.com








