KUALA LUMPUR 11 Sept – Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) masih belum memuktamadkan lokasi pembinaan hangar berkapasiti 20 petak yang juga sebahagian sasaran jangka sederhana syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, perbincangan sedang dilaksanakan bersama-sama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi projek pembangunan hangar baharu tersebut.
Katanya, anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) milik penuh Capital A Berhad itu memang merancang hangar tambahan untuk mencapai sasaran daripada keseluruhan 40 petak baharu.
"Ia pasti akan dibina ADE di Malaysia, sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau juga mana-mana lapangan terbang yang lain di negara kita," katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau memeterai dua perjanjian penting bersama Air France dan Air France Industries KLM Engineering & Maintenance (AFI KLM E&M) bagi penyelenggaraan armada pesawat A330 syarikat tersebut.
Perjanjian bersejarah itu disempurnakan oleh Naib Presiden Eksekutif Air France Industries, Géry Mortreux serta disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz.
Mengulas lanjut, Mahesh menambah, usaha bagi pengembangan fasiliti ADE amat penting memandangkan kapasiti semasa syarikat berkenaan sudah penuh ditempah untuk tempoh 12 bulan yang akan datang.

"Setakat ini saya boleh mengesahkan yang kerja pembinaan bagi empat petak tambahan akan dimulakan sebelum hujung tahun ini, yang bakal dibina bersebelahan dengan kemudahan ADE di Sepang," katanya.
Secara am, ADE pada masa ini mengendalikan sejumlah 16 petak MRO dengan 14 daripadanya terletak di KLIA menerusi hangar MRO terbesar di Malaysia yang dilancarkan syarikat pada September 2024.
Sementara baki dua petak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dan sasaran mencapai 40 petak dalam tempoh tiga hingga lima tahun adalah bagi memenuhi permintaan tinggi.
Peningkatan tersebut didapati semakin bertambah daripada AirAsia sebagai pelanggan utama ADE, serta banyak syarikat penerbangan pihak ketiga yang meyakini tahap kemampuan ADE dalam aspek MRO.
“Buat masa ini, kami menyelenggara kira-kira 70% daripada lebih 250 pesawat milik AirAsia, iaitu sebanyak 90% daripada kapasiti sedia ada. Baki diperuntukkan untuk pelanggan luar,” jelas Mahesh.
Menurut beliau lagi, tumpuan syarikat berkenaan kini adalah untuk memaksimumkan penyelenggaraan pesawat AirAsia terlebih dahulu sebelum membuka banyak ruang kepada syarikat penerbangan luar.
ADE juga kata beliau, sedang berunding dengan pengeluar peralatan asal (OEM) untuk membangunkan lebih banyak bengkel komponen di Malaysia dalam usaha memperkukuhkan rantaian bekalan tempatan.
Dari segi kewangan, ADE mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM40.82 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, meningkat 75.1% berbanding sebelumnya RM23.31 juta.
"Saya optimis separuh kedua tahun ini akan menyaksikan prestasi setara atau lebih baik berbanding tahun lalu, selaras pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan MRO di rantau ini," kata Mahesh.
Perolehan ADE turut meningkat 24.8% kepada RM426.48 juta berbanding RM341.74 juta pada 1HFY24. Bagi tahun penuh kewangan 2024, ia mencatat pendapatan sebanyak RM727 juta. - DagangNews.com








