KUALA LUMPUR 29 Okt – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) menegaskan kedudukan kewangan syarikat amanah pelaburan hartanah tersebut masih kukuh dengan hala tuju pertumbuhan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Valerie Ong pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kesembilan syarikat tersebut di KIP Hotel, di sini hari ini berkata, FY25 merupakan tahun transformasi bagi kumpulan berkenaan.
Beliau memaklumkan yang semua resolusi termasuk pembaharuan mandat bagi mengeluarkan dan memperuntukkan unit baharu sehingga 20% daripada saiz dana diluluskan dengan sokongan padu.
“Kami berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan dengan pendekatan strategik, termasuk urusan pemerolehan aset dan pengurusan modal," jelasnya dalam makluman KIP REIT kepada Bursa Malaysia.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, pertumbuhan aset naik kepada RM1.6 bilion, daripada RM1.1 bilion pada FY24, dengan kadar penghunian portfolio runcit dan industri mencapai sebanyak 96.7%.
Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, hasil yang lebih kukuh turut menyokong pengagihan per unit (DPU) untuk meningkat kepada kira-kira 6.8 sen berbanding 6.7 sen pada tahun kewangan sebelumnya.
Prestasi itu dipacu pengurusan aset aktif, pengembangan portfolio strategik dan disiplin kawalan kos dengan sasaran mencapai RM2.0 bilion aset menjelang 2027, serta peluang hasil yang bertambah
“Kami turut kekal komited terhadap strategi pertumbuhan berdisiplin KIP REIT yang diyakini mampu untuk memberi nilai secara mampan dalam jangka panjang kepada semua pemegang unit,” jelas Ong.
Antara pencapaian utama sepanjang tahun itu katanya, ialah pengambilalihan Dpulze Shopping Centre, TF Value-Mart Gerik, hartanah industri Cheras serta peningkatan aset di KIPMall Senawang.
Perkembangan tersebut tambah beliau, berjaya membantu kumpulan berkenaan menaikkan kadar sewaan dan kadar penghunian dengan tumpuan secara berterusan terhadap kecekapan portfolio hartanah.
Beliau juga memuji sokongan berterusan daripada pemegang unit yang membuktikan keyakinan mereka terhadap visi syarikat untuk membina REIT berteraskan komuniti dan lestari. - DagangNews.com








