ASEAN perkukuh komitmen pembangunan kemahiran pekerja masa depan di bawah AYOS 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASEAN perkukuh komitmen pembangunan kemahiran pekerja masa depan di bawah AYOS 2025

STEVEN Sim (tengah) diapit Gilbert Houngbo (lima dari kiri) bergambar selepas Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Okt – ASEAN menegaskan komitmen kolektif memperkukuh pekerja serantau melalui penerimaan Kenyataan Bersama Pembangunan Kemahiran Tenaga Kerja Masa Depan ASEAN.


Dokumen itu diterbitkan bersempena dengan penganjuran Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) yang berlangsung di ibu negara pada 22 Oktober lalu.


Acara diadakan di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 itu menandakan langkah penting ke arah membina pekerja yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran akan datang. 


Kenyataan bersama tersebut kemudian disampaikan terus oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong sendiri kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert Houngbo.


Penyerahan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN pada majlis perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025.


Dalam ucapannya, Sim menegaskan hasrat menjadikan ASEAN sebagai hab bakat global, dengan fokus kepada tiga nilai teras pembangunan kemahiran iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan.


“Latihan kemahiran mesti boleh diakses oleh semua individu, disesuaikan dengan keperluan era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, serta mampan dari segi sumber dan pembiayaan,” katanya.
 

ayos
STEVEN Sim (kanan) ketika mempengerusikan Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan.


Beliau turut menekankan keperluan perkongsian amalan terbaik antara negara anggota memperkukuh piawaian kemahiran, pengiktirafan pensijilan serta kebolehgerakan tenaga kerja di seluruh rantau.


GSF 2025 dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Sekretariat ASEAN, ILO dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE).


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, AYOS 2025 lahir daripada tekad serantau melengkapkan rakyat ASEAN dengan peluang sejajar perubahan global.


“AFMM-HCD memperkukuh semula visi Malaysia mewujudkan ekosistem kemahiran inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan, sekali gus menterjemahkan visi tersebut menjadi tindakan,” ujarnya.


Malaysia, melalui Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp, memainkan peranan utama menjayakan AYOS 2025 yang menggabungkan penglibatan pihak kerajaan, sektor industri dan institusi pembelajaran.


Ia dilancarkan pada 14 April 2025 bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bagi membina tenaga kerja rantau Asia Tenggara bersedia menghadapi era digital dan teknologi hijau.


Penerimaan Kenyataan Bersama ini melambangkan komitmen kukuh ASEAN dalam memperkasakan tenaga kerja dengan kemahiran masa depan demi memastikan rantau ini kekal berdaya saing dan makmur.


Dengan sokongan ILO dan Sekretariat ASEAN, AYOS 2025 menjadi bukti kepimpinan Malaysia mendorong inovasi, pembangunan kemahiran dan pertumbuhan inklusif di peringkat serantau. - DagangNews.com