KUALA LUMPUR 17 Mac — Ascend Airways Malaysia menetapkan sasaran untuk memulakan operasinya di negara ini pada suku keempat 2025 selepas selesai proses pemerolehan Sijil Operator Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Syarikat penerbangan itu akan beroperasi di bawah model sewa pesawat, kru, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) perniagaan-ke-perniagaan (B2B), serta menawarkan penyelesaian kapasiti fleksibel dan jangka pendek untuk syarikat penerbangan tempatan dan serantau.
Sumber Ascend Airways Malaysia berkata, walaupun berpangkalan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), ia tidak akan pula menjadi syarikat penerbangan komersial dan juga tidak akan menjual tiket terus kepada penumpang.
Sebaliknya, sumber syarikat berkata, ia memberi tumpuan kepada penyediaan pesawat kepada syarikat penerbangan tempatan dan serantau yang memerlukan kapasiti tambahan semasa tempoh permintaan puncak, sekali gus membantu memenuhi keperluan operasi mereka.
“Kami berada di sini bagi menyokong industri penerbangan serantau dengan menawarkan penyelesaian jangka pendek dan fleksibel kepada syarikat penerbangan yang memerlukan kapasiti tambahan," katanya.
Memandangkan syarikat itu katanya, beroperasi berdasarkan model piagam B2B ACMI, ia tidak berasaskan destinasi dan boleh mengendalikan pesawatnya di mana-mana sahaja berdasarkan keperluan operasi pelanggan mereka, contohnya di Bangladesh, India atau China.
Menerusi perkhidmatan ACMI, ia menyasarkan untuk rumusan fleksibel dan atas permintaan semasa waktu puncak, membolehkan rakan kongsi sama ada Malaysia Airlines, AirAsia atau Batik Air Malaysia meningkatkan operasi dengan cekap tanpa komitmen jangka panjang.
Walaupun pelan armada Ascend Airways Malaysia masih belum lagi dimuktamadkan, syarikat penerbangan itu telah mengesahkan bahawa ia akan mengendalikan pesawat Boeing badan sempit.
"Kami tidak mengumumkan saiz armada sehingga kami menerima kelulusan AOC daripada CAAM," kata sumber itu.
Setakat ini, syarikat penerbangan itu telah memperoleh Permit Perkhidmatan Udara Bersyarat daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang akan tamat tempoh pada 14 November 2025.
Pada 8 Januari 2025, Ascend Airways menyatakan menerusi laman webnya bahawa Ascend Airways Malaysia berhasrat untuk memulakan operasi ACMI dengan pesawat Boeing 737 Classic dan seterusnya mengembangkan armadanya dengan memasukkan model 737-800NG.
Ascend Airways Malaysia merupakan sekutu Kumpulan Avia Solutions yang berpangkalan di Ireland dan syarikat kembar kepada Ascend Airways United Kingdom.
Menurut laman web itu, pensijilan syarikat tersebut adalah sebahagian strategi Kumpulan Avia Solutions untuk meningkatkan penggunaan pesawat semasa perubahan bermusim dalam permintaan penumpang, sambil meningkatkan kapasiti di Asia secara serentak. - DagangNews.com








