KUALA LUMPUR 10 Sept – Malaysia hanya berjaya memungut hasil cukai bersamaan 12% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah berbanding purata negara maju mencecah 34%.
Menurut laporan terbaharu oleh Centre for Market Education (CME), Malaysia bersama Singapura dan Indonesia disenaraikan sebagai negara dengan kutipan cukai terendah dalam kalangan anggota ASEAN.
Keadaan tersebut tambah firma berkenaan, jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang berjaya mengutip sebanyak 19%, manakala Filipina pula mampu mencecah kira-kira 18.4% daripada KDNK negara itu.
“Angka-angka ini mencerminkan cabaran ketara dalam aspek penguatkuasaan pemungutan cukai di Asia Tenggara,” jelas CME dalam laporan bertajuk 'Indirect Taxation and Innovation: An ASEAN Framework'.
Ia menjelaskan situasi kelemahan asas cukai ini mengehadkan keupayaan fiskal Malaysia berbanding negara-negara maju yang mempunyai secara purata kutipan cukai sebanyak 34% daripada KDNK mereka.
Dalam konteks Malaysia, CME merujuk pergantungan semakin meningkat kepada cukai tidak langsung seperti cukai nilai tambah (VAT) dan duti eksais, sejajar dengan pengenalan cukai keuntungan modal.
Di negara ini, kutipan cukai dikendalikan oleh dua agensi berbeza di bawah Kementerian Kewangan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Struktur percukaian di rantau ASEAN kata CME, lebih condong kepada cukai tidak langsung, yang berbeza dengan negara maju bergantung kepada cukai langsung seperti cukai pendapatan individu dan korporat.
“Negara-negara Asia Tenggara secara am mengutip hasil cukai lebih rendah berbanding purata OECD, namun kebergantungan kepada cukai tidak langsung adalah jauh amat tinggi,” menurut laporan itu.
OECD merupakan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, sebuah badan antarabangsa yang terdiri daripada 38 negara bekerjasama untuk membentuk dasar sosial rakyat lebih baik di seluruh dunia.
Laporan diterbitkan CME itu muncul ketika kerajaan-kerajaan di rantau ini, termasuk Malaysia, giat meneliti reformasi cukai dalam usaha mengukuhkan sumber pendapatan negara dan perluasan asas cukai.
Inisiatif ini dilihat penting memastikan kelestarian fiskal jangka panjang dan membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan awam lebih bermutu dalam persekitaran ekonomi semakin mencabar. - DagangNews.com








