Artis, pemuzik, pencipta lagu bimbang garis panduan baharu MyIPO jejaskan hak cipta mereka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Artis, pemuzik, pencipta lagu bimbang garis panduan baharu MyIPO jejaskan hak cipta mereka

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — Tiga badan industri muzik tempatan menentang Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 atau CMO yang dianggap memberi kesan negatif kepada pemegang hak cipta, setelah diterbitkan semula tanpa perundingan mereka.
 

Dalam satu kenyataan bersama, Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) berkata, langkah itu menjejaskan autonomi mereka dan tidak sejajar dengan perundangan sedia ada.
 

Mereka turut berkata, garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari 2025, bertujuan menambah baik tadbir urus dan operasi organisasi pengurusan kolektif itu dilaksanakan sebelah pihak.

 

Ia diterbitkan secara unilateral tanpa berunding dan banyak peruntukan adalah bersifat 'ultra vires' kerana melebihi bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Hak Cipta 1987 serta bercanggah dengan undang-undang lain yang sudah lama digubal.
 

"Kesan daripada pelaksanaan CMO yang baharu ini, kami percaya bahawa kami tidak sepatutnya boleh menerima pakai garis panduan tersebut," kata mereka dalam kenyataan berkenaan.
 

Pengerusi MACP, Datuk Nasir Mohamed, yang juga dikenali sebagai penyanyi M Nasir berkata, pertubuhan itu telah mematuhi segala piawaian tadbir urus antarabangsa sebagai ahli kepada Konfederasi Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa.

 

Mereka walaupun menghormati usaha pihak kerajaan untuk menambah baik tadbir urus industri hak cipta tetapi ketiga-tiga badan perlindungan industri muzik tanah air itu belum diberi peluang yang mencukupi untuk berbincang dan menyuarakan pandangan mereka.
 

"Tanpa perbincangan jelas dengan pihak berkepentingan, pelaksanaan garis panduan ini boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem hak cipta dan mata pencarian pencipta seperti saya yang bergantung pendapatan royalti daripada organisasi pengurusan kolektif," katanya.
 

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim pula memberi amaran bahawa garis panduan yang cacat boleh memudaratkan industri muzik tempatan, terutama pemilik hak cipta rakaman muzik dan video.
 

“Sebagai anggota Persekutuan Antarabangsa bagi Industri Fonografi, kami terus meningkatkan operasi agar sejajar dengan amalan terbaik global namun ini tidak boleh dicapai tanpa terlebih dahulu diadakan perundingan terperinci dengan kami," katanya.
 

Sesi libat urus bersama perlu untuk memastikan garis panduan CMO yang diterbitkan kali ini adalah benar-benar melindungi hak kepentingan pelabur yang menjadi ahli mereka sendiri.
 

Beliau berkata bahawa garis panduan baharu itu berkemungkinan akan memberi kesan negatif kepada pengurusan syarikat, yang akhirnya menjejaskan hasil pelabur dan ekonomi negara.
 

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan MyIPO untuk membuat pindaan yang perlu kepada garis panduan CMO yang diterbitkan untuk memastikan ia mencapai objektif dihasratkan,” katanya.
 

Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid pula berkat,a garis panduan baharu itu boleh mengganggu isu pembayaran royalti jika tidak dibincangkan dengan betul bersama pihak berkepentingan. - DagangNews.com