KUALA LUMPUR 7 Nov — Menjelang penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 19 November 2025, Aquawalk Group Berhad dilihat berpotensi menerajui segmen industri akuarium di peringkat ASEAN.
Menurut RHB Research, keyakinan tersebut berbekalkan kepada pelbagai faktor antaranya aset ikonik di beberapa negara, margin tinggi dan rancangan pengembangan agresif di rantau Asia Tenggara.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan yang memulakan liputannya mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai saksama (FV) 43 sen berasaskan 18 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26
"Ini menunjukkan potensi kenaikan 39% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen dengan dijangka mengumpul permodalan kira-kira RM114.3 juta," katanya dalam satu nota hari ini.
Jelasnya, hasil dana itu akan digunakan Aquawalk menaik taraf aset sedia ada di Kuala Lumpur dan Phuket, Thailand serta memasuki pasaran baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan Surabaya, Indonesia.
Kumpulan itu yang ditubuhkan sejak 2055 kata RHB Research, kini mengendalikan Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket, serta memiliki 40% pegangan dalam Jakarta Aquarium & Safari (JAS) di Indonesia.
Dengan bahagian pasaran 50.2% di Malaysia dan 18% di Thailand, syarikat berkenaan kini muncul sebagai peneraju serantau dalam segmen akuarium bertaraf destinasi pelancongan antarabangsa.
"Kami menilai Aquawalk sebagai syarikat unik dan berdaya tahan, disokong oleh struktur kos tetap lebih efisien, tunai bersih kukuh, serta momentum pelancongan yang terus meningkat," katanya.
RHB Research menambah, syarikat itu ketika Tahun Melawat Malaysia 2026, dijangka mencatat kadar pertumbuhan keuntungan tahunan (CAGR) 10% bagi 2024 hingga 2027F, dipacu peningkatan pelawat.
Selain itu jelasnya, pelancaran pameran baharu di beberapa lokasi utama juga menjana hasil dan akan terus mencatat pertumbuhan kukuh melalui jualan tiket dan penambahan daya tarikan baharu.
Antaranya kata firma berkenaan, Tangki Penguin Rockhopper di Aquaria KLCC yang dijangka siap pada 2H2026 serta pameran anjing laut dan aviari di Aquaria Phuket dengan beroperasi menjelang 2027.
"Projek baharu di Surabaya dengan Aquawalk memiliki 60% kepentingan, yang meliputi 3,716 meter persegi dan kapasiti 8,000 pengunjung sehari, turut dijangka memacu pertumbuhan hasil," katanya.
Kata RHB Research, dengan margin untung kasar konsisten sekitar 45%, ia mengekalkan kecekapan operasi hasil kos tetap yang terkawal, ditambah perjanjian sewaan baharu dengan Aquaria KLCC.
Setakat separuh pertama 2025, kumpulan ini memiliki tunai bersih RM33.2 juta, dan meskipun hasil IPO itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal (capex), lembaran imbangan dijangka kekal sihat.
Aquawalk jelasnya, turut menetapkan dasar pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih, yang bersamaan hasil dividen antara 2% hingga 2.7% berdasarkan harga IPO.
"Kami menilai prospek positif dan berdaya saing, namun ia juga berdepan risiko seperti penyakit haiwan dalam akuarium, dan tekanan margin akibat struktur kos tetap tinggi," katanya. - DagangNews.com








