KUALA LUMPUR 24 Jun — Aircraft Propeller Services (APS) membuka secara rasmi fasiliti perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) canggih untuk rantau Asia Pasifik di Malaysia.
Penyedia penyelenggaraan kipas pesawat global itu berkata, pusat bertaraf dunia tersebut mengukuhkan komitmen jangka panjang APS ke Asia Pasifik, iaitu pasaran terbesar dunia untuk pesawat turboprop.
Tambahnya, kemudahan serba baharu yang terletak di Selangor itu adalah pertama seumpamanya di benua Asia serta menambah jejak globalnya yang sudah pun sedia ada di Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.
"Fasiliti seluas 2,800 meter persegi ini termasuk lantai kilang yang boleh dikawal suhu persekitaran dan kelembapan serta ruang pejabat pentadbiran setinggi tiga tingkat," kata APS dalam kenyataan.
Ia turut akan menyediakan keupayaan MRO dalaman sepenuhnya untuk kipas ATR 42/72 dan Airbus C295, dengan rancangan untuk memperkenalkan keupayaan MRO yang selanjutnya dari semasa ke semasa.
APS merupakan satu-satunya syarikat MRO di Asia dan AS yang diberi lesen bagi melaksanakan pembaikan kipas model 568F milik pengeluar peralatan asal (OEM) di bawah perjanjian dengan Collins Aerospace.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga memperakui kemudahan baharu itu manakala kelulusan daripada negara lain akan menyusul kemudian.
Kemudahan itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif APS, Daniel Colbert; dan Pengarah Urusan APS Asia Pasifik, Fergus Lopez.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan keputusan APS membawa matlamat negeri itu menjadi pintu masuk ke ASEAN kepada tahap baharu, mewakili landskap ekonomi dinamik dan kepercayaan bagi Malaysia.
Pembukaan fasiliti itu mewakili landskap ekonomi syarikat ke peringkat terkini dan beliau yakin anak muda Selangor akan mendapat manfaat melalui banyak peluang pekerjaan ditawarkan kemudahan MRO ini.
"Saya gembira APS memilih Selangor menjadi rumahnya di Asia Pasifik serta menjadi tonggak industri penerbangan terutama ATR, Airbus, dan Embraer yang mengendalikan laluan jarak dekat," kata Amirudin.
Seramai 20 daripada 30 pekerja telah menamatkan latihan ketat APS di AS dan Brazil, serta memperoleh pensijilan dalam pemeriksaan kompleks dan teknik pembaikan yang dibenarkan oleh pihak OEM sendiri.
Selain itu katanya, setiap pelatih terbabit telah menamatkan sejumlah 31 kursus teknikal wajib untuk memastikan pematuhan piawaian berprestasi global menerusi siri latihan yang cukup komprehensif.
Sementara itu, Colbert berkata, pusat MRO terbaharu itu mewakili lebih daripada pengembangan geografi selain pelaburan strategik dalam pembangunan tenaga kerja dan kecemerlangan teknikal.
"Ia juga komitmen APS untuk dekat dengan pelanggan dan menerusi kepakaran kumpulan bersama bakat mahir Malaysia, kami membina pusat kecemerlangan untuk Asia Pasifik," katanya. - DagangNews.com








