Apollo Food catat untung bersih RM13.8 juta pada 6MFY26 disokong prestasi eksport kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Apollo Food catat untung bersih RM13.8 juta pada 6MFY26 disokong prestasi eksport kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisApollo Food Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.8 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026, disokong oleh prestasi eksport yang amat kukuh.


Kumpulan pengeluar serta pengedar produk coklat wafer dan kek lapis beribu pejabat di Larkin, Johor tersebut berkata, ia dibantu pemulihan jualan domestik selepas pelaksanaan strategi pemasaran baharu.


Berdasarkan laporan kewangan diumumkan hari ini, Apollo Food mencatatkan hasil RM140.3 juta untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2025, meningkat daripada RM65.1 juta pada suku pertama FY26.


"Bagi suku kedua FY26, syarikat merekodkan hasil RM75.3 juta, naik 16% berbanding suku pertama, manakala untung bersih RM7.4 juta, meningkat 17% suku ke suku," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, Pengarah Urusannya, Cheah Jia Ming berkata, prestasi 2QFY26 memberikan pengesahan awal bahawa strategi pemasaran syarikat sejak ditubuhkan pada 1994 berada di landasan yang betul. 


Dengan peralihan 'Route-to-Market' domestik hampir selesai, jualan tempatan kini stabil, manakala inisiatif pengukuhan jenama dan portfolio produk yang diperbaharui mula menunjukkan kesan positif.


"Kami turut berasa gembira apabila sektor eksport pula terus mencatatkan permintaan kukuh, terutamanya di pasaran utama sendiri seperti Indonesia,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Syarikat juga mengekalkan kestabilan kewangan, dengan baki tunai bersih RM77.0 juta setakat 31 Oktober 2025, dan mengumumkan dividen interim pertama 15 sen sesaham dibayar pada 15 Januari 2026.


Dalam pada itu, Apollo Food katanya, menekankan pemantauan ketat terhadap tekanan inflasi kos input dan operasi, sambil melaksanakan banyak langkah penjimatan kos, automasi serta peningkatan proses.


Usaha berkenaan jelas Jia Ming, terbukti berjaya apabila kumpulan tersebut dapat memperbaiki produktiviti dan kecekapan kos dalam jangka panjang. - DagangNews.com