APMM tambah dua kapal misi pelbagai guna dengan keupayaan operasi selama 30 hari di laut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

APMM tambah dua kapal misi pelbagai guna dengan keupayaan operasi selama 30 hari di laut

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengerahkan dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) baharu ke Laut China Selatan bagi memperkukuh operasi keselamatan dan penguatkuasaan perairan negara.

 

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata penugasan aset baharu itu merupakan sebahagian daripada program pembangunan keupayaan agensi berkenaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan operasi maritim.

 

Beliau menjelaskan kedua-dua kapal berkenaan akan berfungsi sebagai kapal induk atau “mothership” yang bertindak menyokong operasi di laut termasuk mengurus dan menggerakkan aset kecil seperti bot pemintas.

 

“Kapal pertama MPMS dijangka siap seawal Februari 2027 dan akan dipamerkan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) sebagai demonstrasi keupayaan aset baharu tersebut.

 

“Bagi kapal kedua pula, ia dijangka siap sama ada menjelang akhir 2027 atau suku pertama 2028, bergantung kepada perkembangan pembinaan dan pelaksanaan kontrak yang telah dimeterai,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2026) hari ini. 

 

Kapal kedua itu mempunyai spesifikasi hampir sama dengan kapal pertama dan direka sepanjang kira-kira 99 meter dengan keupayaan operasi jarak jauh di laut.

 

Kedua-dua kapal MPMS akan dilengkapi dengan empat bot pemintas masing-masing yang digunakan bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan serta tindakan pantas di laut.

 

Selain itu, kapal berkenaan juga mampu beroperasi sehingga 30 hari di laut tanpa perlu kembali ke pangkalan, sekali gus meningkatkan keupayaan rondaan jangka panjang di kawasan strategik.

 

Mohd Rosli berkata setiap pelayaran operasi dijangka mengambil tempoh sekitar dua hingga tiga minggu, khususnya di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan bagi memastikan kawalan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap optimum.

 

Beliau turut memaklumkan APMM kini memberi tumpuan kepada pengukuhan aset dan teknologi termasuk menaik taraf keupayaan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STARS) bagi menyokong operasi di lapangan.

 

Dalam pada itu, projek pembinaan kapal MPMS kedua dianggarkan bernilai AS$83.75 juta atau kira-kira RM394 juta dengan tempoh pelaksanaan kontrak selama 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028. - DagangNews.com