KUALA LUMPUR 2 Sept – Ann Joo Resources Berhad terus bergelut dengan prestasi kewangan lemah apabila mencatatkan kerugian bersih RM147.1 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025.
Menurut TA Securities, jumlah kerugian ini jauh melebihi jangkaan kerugian penuh tahun sebanyak RM73 juta, dipacu oleh harga jualan purata (ASP) yang kekal lembap dan menekan margin keuntungan.
Tambah firma penyelidikan itu, pendapatan tahun ke tahun (YoY) menjunam 13.5% kepada RM1.1 bilion, didorong oleh jualan yang lebih rendah dan penurunan ASP merentasi semua kategori produk.
"Kejatuhan ini telah menyebabkan kerugian bersih teras Ann Joo meningkat mendadak sebanyak 148.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu," kata TA Securities dalam nota kajiannya hari ini.
Bagaimanapun tambah firma berkenaan, secara suku ke suku (QoQ), pendapatan kumpulan tersebut naik sedikit sebanyak 1.7% berikutan pertambahan jumlah jualan dalam industri keluli di pasaran.
Situasi positif itu kata TA Securities, menyumbang kepada penguncupan kerugian sukuan kepada RM54 juta, apabila peningkatan hasil syarikat sebahagiannya telah mengimbangi kesan ASP yang lemah.
Firma itu menyemak semula andaian harga jualan bagi produk keluli terpilih, berikutan prestasi 1HFY25 yang mengecewakan dengan menjangkakan kerugian bersih FY25 meningkat kepada RM135.2 juta.
"Ia hampir dua kali ganda daripada unjuran asal dan Ann Joo juga jangka persekitaran operasi terus mencabar, seiring unjuran pertumbuhan global perlahan kepada 2.9% bagi 2025–2026," katanya.
Keadaan lemah itu kata TA Securities, dipengaruhi oleh banyak faktor semasa termasuk isu sekatan perdagangan, keadaan kewangan ketat, dan ketidaktentuan dasar kerajaan sepanjang 1HFY25.
Di China, meskipun ekonominya memenuhi sasaran pertumbuhan 5%, permintaan keluli kekal lemah, terutama dari sektor hartanah, tetapi tindakan negara tersebut turut banyak membantu keadaan.
Antaranya tambah firma tersebut, membendung lebihan bekalan sejak Julai 2025 yang membantu menstabilkan harga keluli dan merangsang semula sentimen dalam pasaran keluli domestik Malaysia.
"Pelaburan infrastruktur RM430 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menjadi pemangkin permintaan jangka sederhana, khususnya dalam sektor tertentu," kata TA Securities.
Ini termasuk dalam bidang pengangkutan, perumahan, utiliti dan industri, namun ia memberi amaran ketidaktentuan dalam pelaksanaan projek boleh mengehadkan keterlihatan pendapatan jangka pendek.
Tambahan pula katanya, pengenalan cukai karbon pada 2026 dijangka menambah tekanan kos operasi, meskipun berpotensi mempercepat pelaburan ke arah rumusan keluli yang mampan dan cekap tenaga.
TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Ann Joo, dengan harga sasaran tidak berubah kepada 76 sen, berasaskan 12 kali ganda anggaran pendapatan sesaham tahun kewangan 2026.
“Kami kekal berhati-hati terhadap pemulihan syarikat ini, memandangkan tekanan berterusan daripada harga dan permintaan, serta risiko dasar baharu,” jelas firma berkenaan. - DagangNews.com








