KUALA LUMPUR 6 Mei – Ann Joo Resources Berhad memperoleh kontrak bernilai RM37.4 juta bagi melaksanakan projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, IAC Infrastructure Sdn Bhd oleh Universal Peak Sdn Bhd.
Universal Peak merupakan sebahagian daripada konsortium bersama Blueleaf Energy yang telah dipilih oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk membangunkan projek BESS tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ann Joo berkata skop kerja merangkumi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan serta pengujian kemudahan BESS berskala utiliti berkapasiti 100MW/400MWh.
“Selain itu, projek tersebut turut melibatkan pelaksanaan kerja-kerja berkaitan termasuk kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal serta pembangunan infrastruktur sokongan.
“Projek ini adalah sebahagian daripada program Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Malaysia (MyBeST) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi memperkukuh kestabilan grid nasional.
“Inisiatif itu juga bertujuan menyokong peralihan negara ke arah sistem tenaga yang lebih mampan serta neutral karbon,” katanya.
Ann Joo berkata tempoh kontrak masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan bersama Universal Peak dan butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Syarikat menjangkakan projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan serta aset bersih kumpulan.
Selain itu, Ann Joo yang terlibat dalam pembuatan produk keluli seperti billet, bar dan rod dawai turut mempelbagaikan perniagaan ke dalam sektor tenaga solar pada Ogos 2023 menerusi Ann Joo Green Energy Sdn Bhd dengan kerjasama JAKS Solar Power Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd, bagi memperoleh kuota 29.99MWac di bawah Program Tenaga Hijau Korporat. - DagangNews.com








