KUALA LUMPUR 20 Nov - Persediaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengoperasikan sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) ANKA-S semakin ketara dengan persiapan kru dan pengendali.
UAS ANKA-S milik TUDM kini berada pada fasa akhir integrasi sebelum penghantaran aset yang dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini.
Terbaru, seramai 6 juruterbang dan 6 jurusensor senjata dari No 11 Skuadron telah menamatkan kursus peralihan pesawat ANKA di Ankara, Türkiye.
Kursus ini merangkumi penerbangan simulator dan penerbangan sebenar selama 5 bulan di premis Turkish Aerospace Industries (TAI).


No 11 Skuadron adalah pasukan yang bertanggungjawab untuk mengoperasikan aset-aset UAS ANKA ini.
Apa yang menarik, walaupun perolehan ANKA-S TUDM tidak melibatkan sistem persenjataan, namun berkemungkinan keupayaan itu akan diperolehi menerusi pakej tambahan yang akan dibuat pada masa hadapan.
Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), dron ANKA-S mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.
Aset UAS ANKA-S TUDM merupakan salah satu pelan perolehan Rancangan Malaysia Ke-12 TUDM.
Penugasan skuadron dron UAS pertama ini diumumkan pada 1 Jun 2020 oleh Panglima Tentera Udara ketika itu, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Sejak tempoh itu, persediaan serta perancangan dari segi latihan dan pengoperasian pada masa hadapan telah dilaksanakan oleh TUDM bagi peralihan daripada skuadron pesawat tempur kepada UAS.
Ini kerana No 11 Skuadron yang ditubuhkan pada tahun 1969 asalnya merupakan skuadron pesawat tempur.
Pada awal penubuhannya skuadron ini mengoperasikan pesawat Avon CA-27 Sabre, diikuti F-5E seterusnya pesawat Sukhoi SU-30MKM.
Berikutan perubahan tersebut skuadron SU-30MKM dipindahkan kepada No 12 Skuadron.
Sebelum ini pada Ogos lalu, seramai 7 pegawai dan 19 anggota TUDM berjaya menamatkan kursus senggaraan UAS ANKA O-Level Maintenance juga dilaksanakan oleh pihak TAI di di Türkiye.



Kursus selama hampir 2 bulan ini merangkumi 3 modul iaitu sistem mekanikal dan enjin, sistem avionik dan sistem kawalan di darat.
Kursus ini bertujuan mempersiapkan jurutera dan juruteknik TUDM dalam melaksanakan penyelenggaraan peringkat O-Level bagi pesawat UAS ANKA.
Sama seperti skuadron pesawat tempur, kepentingan kemahiran senggaraan amat penting bagi memastikan kesiagaan operasi pesawat tersebut sentiasa pada tahap yang tertinggi.
Peningkatan kemahiran senggaraan dalam kalangan pegawai dan anggota ini amat penting bagi memastikan kejayaan operasi TUDM dalam mengoperasikan aset-aset baharu yang lebih moden dan terkini.
Kontrak perolehan 3 buah ANKA-S bersama peralatan sokongan berkaitan dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan TAI semasa LIMA 2023 di Langkawi.


MINDEF dijangka akan membuat pembelian tambahan sekurang-kurangnya 3 buah lagi UAS ANKA-S pada RMK-13 bagi melengkapkan keupayaan sebuah skuadron penuh.
ANKA-S mampu terbang selama 24 jam dengan ketinggian latitud 19,500 kaki dan dilengkapi dengan pelbagai sensor bagi tujuan pemantauan.
Keupayaan tersebut memberikan TUDM kelebihan untuk mengekalkan rondaan udara jarak jauh pada kos yang jauh lebih rendah berbanding penggunaan pesawat pejuang.
Dengan perolehan aset strategik ini membolehkan TUDM meningkatkan keupayaan untuk mengesan dan amaran awal bagi melindungi serta mempertahankan kepentingan di kawasan hadapan dan lanjutan negara. - DagangNews.com







