KUALA LUMPUR 21 Julai - Keputusan Malaysia untuk mengoperasikan tiga buah dron Anka‑S MALE (Medium Altitude Long Endurance buatan Türkiye menandakan langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan sensitif Laut China Selatan.
Perolehan bernilai RM423.8 juta ini sangat signifikan walaupun ada sesetengah pihak yang melihatnya sebagai langkah senyap ATM memperkasakan ruang udara dan maritim.
Dron Anka-S MALE difahamkan akan beroperasi dari Labuan dan dijangka memulakan misi pemantauan menjelang akhir tahun ini.
Syarikat tempatan, G7 Aerospace telah diberi kontrak untuk menaik taraf kemudahan di Pangkalan Udara Labuan, Sabah termasuk membina hangar dan lain-lain keperluan sokongan untuk operasi skuadron dron.

Langkah ini dilihat bukan sekadar pembelian aset pertahanan, tetapi mencerminkan pendekatan Malaysia yang konsisten dalam melaksanakan pemodenan aset.
Sesuai dengan trend penggunaan dron yang semakin meluas dalam kalangan angkatan tentera di dunia, ini bermakna ATM juga tidak ketinggalan dalam menguasai kepesatan teknologi.
Ia juga bukan satu perlumbaan senjata kerana kebanyakan tentera negara-negara serantau turut mengoperasikan dron sebagai mata dan telinga di udara.
Singapura misalnya lebih dahulu menguasai teknologi dron jarak sederhana dalam kategori sama seperti Anka-S iaitu Hermes 450 dan Heroin 1, kedua-duanya buatan Israel.
Indonesia pula telah membeli 12 buah dron Anka-S MALE sama seperti Malaysia dan dijangka diterima secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini.


Sepertimana Malaysia, Indonesia juga berdepan dengan isu keselamatan di Laut China Selatan selain mempunyai wilayah maritim yang berkali ganda lebih luas.
Walaupun Laut China Selatan sering digambarkan sebagai gelanggang pertembungan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia menolak naratif sedemikian.
Sebelum perolehan dron dibuat, Kementerian Pertahanan (Mindef) menerima tawaran daripada beberapa negara yang berminat untuk menawarkan aset sedemikian melalui tender terbuka.
Selain Türkiye, turut bersaing pada waktu itu ialah AS dengan General Atomics MQ-9 Reaper manakala China, dron Wing Loong, malah masing-masing mempamerkan dron yang ditawarkan semasa LIMA 2019.
Sebagai negara yang melaksanakan perolehan pertahanan secara terbuka, cara ini memberi kelebihan kepada Malaysia sebagai bakal pengguna untuk membuat pilihan.


Platform Anka‑S menawarkan pelbagai kelebihan seperti capaian kepada komunikasi satelit, radar berprestasi tinggi, dan sistem pemantauan canggih.
Walaupun dron Anka-S boleh dilengkapkan dengan persenjataan seperti peluru berpandu, namun dipercayai perolehan dron ATM ini tidak melibatkan keupayaan sedemikian.
Sekiranya pada masa hadapan ATM bercadang untuk melengkapkan Anka-S dengan sistem persenjataan, ini bakal meletakkan keupayaan pertahanan negara lebih kehadapan.
Ini kerana sebagai mata dan telinga di udara, dron Anka-S tidak semata-mata dibeli untuk pengawasan, pencegahan jenayah rentas sempadan atau pencerobohan nelayan.
Seharusnya dron Anka-S dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai aset strategik dan cegah rintang tetapi bukan bersifat ofensif.


Dron Anka-S yang boleh terbang untuk tempoh lama antara 24 hingga 30 jam pada ketinggian 30,000 benar-benar memberi dimensi baharu kepada corak operasi TUDM nanti.
Lebih daripada sekadar perolehan, pembelian dron Anka-S turut memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye.
Sebagai anggota kedua terbesar NATO dan Rakan Dialog Sektoral ASEAN, Türkiye memainkan peranan unik dalam jambatan antara timur dan barat.
Keupayaan Turki dalam industri pertahanan termasuk penggunaan dron dalam pelbagai konflik global membuktikan kematangan dan kebolehpercayaan sistem yang ditawarkan.
Industri pertahanan negara dalam bidang dron sudah pasti akan berkembang selepas ini termasuk industri hiliran.

Malaysia misalnya mempunyai industri komposit bagi pembinaan pesawat, yang mana ia boleh dimanfaatkan kerana dron Anka-S diperbuat daripada bahan serupa.
Tidak ketinggalan bidang kemahiran dalam penyenggaraan pesawat dron, sistem pengawasan dan lain-lain teknologi tinggi yang digunakan.
Syarat kerajaan yang menetapkan ada kerjasama industri dalam sesuatu perolehan, ini satu lagi langkah strategik untuk memacu keupayaan tempatan.
Dengan Anka‑S bakal berlegar-legar di ruang udara negara di perairan Laut China Selatan, mesej Malaysia dalam menegakkan kepentingan nasional adalah jelas.
ATM pula bukan sekadar mempertingkatkan keupayaan, malah beralih kepada pengoperasian aset berteknologi mutakhir iaitu dron yang menjadi pelengkap pertahanan masa kini. - DagangNews.com







