KUALA LUMPUR 17 April – Ancom Nylex Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 21.5% kepada RM56.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2026 (9MFY26) berbanding RM46.4 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata peningkatan itu dipacu pemulihan dalam bahagian kimia perindustrian.
“Prestasi itu dicapai meskipun hasil kumpulan susut kepada RM1.32 bilion daripada RM1.42 bilion sebelumnya disebabkan harga jualan purata yang lebih rendah dalam segmen kimia perindustrian serta kelemahan dolar Amerika Syarikat yang menjejaskan nilai eksport agrokimia.
“Peningkatan keuntungan disokong oleh penambahbaikan margin serta kecekapan operasi yang lebih tinggi dalam perniagaan pengedaran di bawah bahagian kimia perindustrian.
“Bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2026, hasil kumpulan kekal stabil pada RM446.2 juta berbanding RM449 juta dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam makluman tersebut.
Keuntungan bersih bagi suku berkenaan turut mencatatkan peningkatan kecil kepada RM18.3 juta daripada RM18 juta sebelum ini, mencerminkan prestasi operasi yang lebih baik secara keseluruhan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Lee Cheun Wei berkata ekonomi global kini berdepan persekitaran mencabar susulan konflik berterusan di Timur Tengah yang menjejaskan pasaran tenaga dan perkapalan.
Katanya, gangguan di laluan penting seperti Selat Hormuz telah meningkatkan harga minyak, premium insurans serta kos pengangkutan, sekali gus memberi tekanan kepada perniagaan yang berdepan kos tenaga tinggi dan gangguan rantaian bekalan.
Dalam pada itu, beliau berkata permintaan bagi segmen agrichem kekal kukuh disokong harga tanaman yang menggalakkan, selain kelulusan pendaftaran produk bahan aktif (AI) teras bagi penggunaan dalam kacang soya di Brazil yang membolehkan tanaman itu dimasukkan dalam label produk.
Perkembangan itu meletakkan kumpulan pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan musim penanaman kacang soya 2026 yang dianggarkan kira-kira lima kali lebih besar berbanding pasaran tebu sedia ada oleh kumpulan. - DagangNews.com








