Ancom Nylex diunjur catat pendapatan kukuh dipacu kos pengangkutan rendah - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex diunjur catat pendapatan kukuh dipacu kos pengangkutan rendah - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 April — Pendapatan Ancom Nylex Berhad pada tiga bulan berikutnya dijangka mendapat manfaat daripada penurunan berterusan dalam kos pengangkutan antarabangsa pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25), kata HLIB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat ketegangan perdagangan yang berterusan dan ketidaktentuan geopolitik, permintaan keseluruhan untuk produk kimia pertanian atau agrichem keluaran syarikat tersebut setakat ini kekal berdaya tahan.


Untung bersih teras kumpulan melonjak kukuh sebanyak 71 peratus, didorong pendapatan sebelum faedah dan cukai yang lebih kukuh daripada segmen produk kimi pertanian dihasilkan syarikat berkenaan.


Penambahbaikan itu masih lagi berlaku selepas tempoh suku sebelumnya yang terjejas teruk oleh kenaikan kos pengangkutan akibat ketegangan geopolitik meningkat dan pergerakan pertukaran mata wang asing pula semakin buruk.


"Pada pandangan kami, ini mungkin disebabkan faktor keanjalan permintaan rendah dan kekurangan pengganti untuk tawaran bahan aktif utamanya, namun pasaran Amerika Syarikat (AS) hanya telah menyumbang 10 peratus hasil produk kimia pertaniannya," kata HLIB Research dalam nota kajian.


Secara berasingan, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dipacu oleh pengkomersilan Kimia T pada suku kedua 2025 dengan pengeluaran meningkat secara beransur-ansur sehingga kapasiti tahunan sebanyak 1,000 tan.


Selain itu tambahnya, pendaftaran label monosodium methanearsonate (MSMA) untuk tanaman kacang soya di Brazil pula berada di landasan kukuh untuk pemerolehan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan pada pertengahan 2025.


"Pendaftarannya yang berjaya akan membolehkan kumpulan itu memasarkan produk MSMA dalam pasaran kacang soya Brazil, membolehkan Ancom memanfaatkan pasaran boleh ditangani lima kali lebih besar daripada tanaman tebu," katanya.


HLIB Research telah mengesahkan semula ramalannya untuk Ancom Nylex, dengan mengekalkan saranan "beli" dan mengekalkan harga sasarannya pada RM1.13 sesaham. - DagangNews.com