KUALA LUMPUR 14 Okt 2025 – Wasco Berhad memaklumkan yang anak syarikat milik penuhnya, Wah Seong International Pte Limited (WSIPL) sudah dibubarkan secara rasmi pada 3 Oktober 2025.
Pemakluman pembatalan syarikat tersebut yang diperbadankan di Hong Kong, turut diterima oleh Wasco daripada Pendaftar Syarikat Hong Kong di bawah Seksyen 751 Ordinan Syarikat Hong Kong.
WSIPL, yang ditubuhkan pada 9 November 1993 dengan modal berbayar sebanyak HK$1 juta (kira-kira RM544,000), tidak lagi beroperasi dan pembubarannya tidak memberi impak kewangan material.
"Ia juga dijangka tiada sebarang kesan ketara terhadap prestasi Wasco bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," kata kumpulan berkenaan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Selain itu jelasnya, langkah pembubaran tersebut juga tidak akan menjejaskan struktur pemegangan saham semasa, modal terbitan syarikat mahupun segala kedudukan ekuiti pemegang saham utama.
Wasco menambah, tiada pengarah, pemegang saham utama, ketua pegawai eksekutif atau pihak lain yang ada kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam proses pembubaran WSIPL.
Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada rasionalisasi korporat kumpulan bagi menstruktur semula entiti yang tidak aktif demi meningkatkan kecekapan operasi jangka panjang. - DagangNews.com








