Anak syarikat Magni-Tech beli tanah RM133 juta di Tanjong Bungah, Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Magni-Tech beli tanah RM133 juta di Tanjong Bungah, Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – Magni-Tech Industries Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Magni Land Sdn. Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Neoh Choo Ee & Company Sdn Berhad bagi cadangan pemerolehan sebidang tanah di Pulau Pinang.

 

Transaksi tersebut melibatkan pembelian hartanah dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM133.33 juta yang akan memperkukuh strategi kumpulan dalam membina portfolio aset hartanah jangka panjang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata penjual bagi transaksi ini ialah Neoh Choo Ee & Company, sebuah syarikat yang terlibat dalam pelaburan saham, penyewaan premis serta aktiviti perladangan dan pengeluaran komoditi seperti getah dan buah tandan segar kelapa sawit.

 

“Tanah itu terletak di Bandar Tanjong Bungah, Daerah Timur Laut, Negeri Pulau Pinang dengan keluasan dianggarkan sekitar 19,080 meter persegi.

 

“Ia adalah tanah pegangan bebas dengan status penggunaan tanah yang tidak dinyatakan (NIL), dan ketika ini berada dalam keadaan tanah kosong tanpa sebarang pembangunan.

 

“Hartanah ini dicadangkan untuk kegunaan pelaburan serta pembangunan masa depan, dengan mengambil kira kedudukan strategiknya sebagai kawasan pesisir pantai di Tanjong Bungah, Pulau Pinang,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Harga pembelian ditentukan berdasarkan asas persetujuan bersama dengan milikan kosong serta bebas daripada sebarang bebanan atau sekatan, selepas mengambil kira potensi pembangunan serta nilai pasaran hartanah setara di kawasan sekitar.

 

Penilaian turut mengambil kira lokasi strategik hartanah yang berada kira-kira 15 minit dari pusat bandar George Town serta dikelilingi kemudahan seperti hotel bertaraf antarabangsa, resort dan institusi pendidikan antarabangsa.

 

Pembelian ini akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman kumpulan Magni-Tech, yang mencerminkan kedudukan tunai kukuh syarikat tanpa sebarang keperluan pembiayaan luar atau peningkatan hutang.

 

Kedudukan kewangan kumpulan adalah kukuh dengan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah kira-kira RM414.195 juta setakat 30 April 2025, sekali gus menyokong keupayaan syarikat untuk melaksanakan transaksi berskala besar ini.

 

Tiada sebarang liabiliti, termasuk liabiliti luar jangka atau jaminan, yang akan ditanggung oleh Magni Land Sdn Bhd hasil daripada transaksi ini.

 

Dari segi kesan korporat, transaksi ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan saham Magni-Tech Industries Berhad.

 

Selain itu, transaksi ini juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027.

 

Dari sudut struktur kewangan, transaksi ini tidak akan meningkatkan tahap gearing kumpulan kerana ia dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman tanpa sebarang pinjaman baharu.

 

Perjanjian ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Magni-Tech atau pihak berkaitan, dan tidak melibatkan sebarang kepentingan oleh pengarah atau pemegang saham utama syarikat.

 

Lembaga Pengarah Magni-Tech menyatakan bahawa selepas menilai semua aspek termasuk rasional dan prospek transaksi, mereka berpendapat pemerolehan ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan kumpulan.

 

Transaksi ini dijangka diselesaikan pada separuh kedua tahun 2026, tertakluk kepada pemenuhan semua syarat dalam perjanjian jual beli.- DagangNews.com