Anak syarikat Harvest Miracle catat pinjaman tertunggak RM94 juta pada 3QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Harvest Miracle catat pinjaman tertunggak RM94 juta pada 3QFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 JanHarvest Miracle Capital Berhad, melalui anak syarikat pemberi pinjamannya, Valhalla Capital Sdn Bhd, mencatatkan jumlah pinjaman tertunggak agregat sebanyak RM94.02 juta.


Kumpulan pelaburan dalam pelbagai bidang yang ditubuhkan sejak 1996 dengan asalnya dikenali Vortex Consolidated Berhad itu berkata, jumlah berkenaan bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025.


Jelasnya, daripada jumlah tersebut, pinjaman kepada syarikat adalah paling besar dengan merangkumi sebanyak RM36.76 juta, manakala pinjaman kepada individu pula didapati kira-kira RM14.26 juta.


"Pinjaman kepada syarikat dalam kumpulan pula berjumlah RM43.0 juta, dengan kesemuanya melibatkan kategori yang tidak bercagar," tambah Harvest Miracle dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Setakat tempoh sama katanya, Valhalla Capital langsung tidak mempunyai sebarang pinjaman atau pembiayaan luar, termasuk pinjaman daripada syarikat dalam kumpulan itu atau pinjaman bercagar.


Perkembangan positif itu kata kumpulan tersebut, mencerminkan kedudukan pembiayaan yang konservatif selaras Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dikawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Bagi pinjaman gagal bayar jelas Harvest Miracle, ia merekodkan pinjaman bersih gagal bayar sebanyak RM530,000, selepas mengambil kira kutipan semula berjumlah RM548,000 sepanjang temph suku tersebut.


"Nisbah pinjaman gagal bayar bersih kepada jumlah pinjaman tertunggak adalah kekal rendah lagi pada 0.006:1, sekali gus menunjukkan tahap kualiti aset yang masih terus terkawal," kata kumpulan itu.


Sementara itu, lima pinjaman terbesar kumpulan melibatkan kemudahan pinjaman berjangka dengan had antara RM4 juta hingga RM23 juta, yang merangkumi pinjaman secara bercagar dan tidak bercagar.


Sebahagian pinjaman diberikan Valhalla Capital tersebut tambah Harvest Miracle, disokong cagaran seperti gadaian tanah dan sekuriti, dengan nilai cagaran yang mencecah sehingga RM36.05 juta.


Pengumuman berkenaan jelasnya, dibuat selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE, bagi meningkatkan ketelusan aktiviti perniagaan pemberian pinjaman kumpulan. - DagangNews.com