KUALA LUMPUR 9 Jan – Anak syarikat Citaglobal Berhad, Citaglobal Capital Sdn Bhd, mencatatkan keseluruhan pinjaman tertunggak bagi suku keempat sehingga 31 Disember 2025 berjumlah RM18.5 juta.
Kumpulan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pinjaman tunggal yang paling besar mencecah RM10.3 juta, dengan disokong jaminan dan tempoh bayaran balik selama 18 bulan.
Jumlah pinjaman tertunggak lain merangkumi pinjaman kepada syarikat berjumlah RM805,554, pinjaman individu (RM732,167), serta pinjaman dalam kumpulan syarikat disenaraikan (RM16.96 juta).
"Jumlah keseluruhan pinjaman diperoleh anak syarikat pula mencapai RM24.53 juta, termasuk RM19.53 juta daripada syarikat dalam kumpulan dan RM5 juta daripada sumber lain," jelas Citaglobal.
Maklumat ini mencerminkan pengurusan kewangan dan pembiayaan dalaman yang aktif bagi menyokong operasi perniagaan pinjaman wang, dan selaras Perenggan 8.23(2)(e) Senarai Keperluan Penyenaraian.
Pengumuman itu juga katanya, menyenaraikan lima pinjaman terbesar lain, dengan jumlah tertunggak antara RM0.8 juta hingga RM4 juta, dan sebahagian besar pinjaman tersebut disokong jaminan.
Sementara tempoh bayaran balik pula ujar Citaglobal, antara 12 hingga 36 bulan, yang menunjukkan pendekatan kumpulan mengurus risiko kredit dan memastikan pemulihan pinjaman secara berhemat.
"Maklumat ini adalah sebahagian daripada pemantauan dan pematuhan laporan suku tahunan kepada Bursa Malaysia, bagi memberikan ketelusan kepada pelabur dan pihak berkepentingan," tegasnya lagi.
Langkah ini juga katanya, mencerminkan komitmen portfolio pinjaman, kestabilan operasi, serta pertumbuhan berterusan perniagaan pinjaman wang Citaglobal Capital di pasaran tempatan.
Subsidiari itu ditubuhkan pada 7 Ogos 2007 dan merupakan syarikat pemberi pinjaman wang yang berlesen, serta beroperasi sah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ia memberi pinjaman kepada individu dan perniagaan, termasuk pinjaman peribadi dan perniagaan sebagai perniagaan teras, serta dikawal selia dan menyediakan pelbagai produk pembiayaan. - DagangNews.com








