KUALA LUMPUR 20 Jun — AmMetLife Takaful Berhad melantik Nazrulhisham Abdul Hamid sebagai ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa pada 16 Jun 2025.
Firma itu itu berkata, beliau berpengalaman lebih 25 tahun dalam industri takaful dan insurans, termasuk lebih sedekad dalam operasi serta jualan takaful keluarga dan am.
Beliau dari segi kelayakan akademik, berkelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Perakaunan dan Kewangan dari University of Hull, United Kingdom.
Seterusnya kata AmMetLife Takaful, Nazrulhisham melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dakan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA.
Sebelum menyertai firma takaful tersebut, beliau merupakan CEO Zurich Takaful Malaysia Berhad pada 1 November 2021 selepas menyertai syarikat itu sejak 2015.
Sementara itu, Ketua Serantau MetLife untuk Bangladesh, Malaysia, Nepal dan Vietnam, Elena Butarova berharap, Nazrulhisham membawa kepakaran dan kepimpinan berharga.
"Pengetahuan industri dan rekod prestasi kukuh dalam memacu pertumbuhan serta kecemerlangan operasi akan memainkan peranan penting membawa perniagaan takaful kami ke tahap lebih tinggi," katanya dalam kenyataan. - DagangNews.com








