Amir Hamdan letak jawatan Presiden, CEO Kumpulan Prasarana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amir Hamdan letak jawatan Presiden, CEO Kumpulan Prasarana

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 April - Prasarana Malaysia Berhad hari ini mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), Amir Hamdan akan menamatkan perkhidmatannya selepas hampir lapan tahun bersama syarikat pengangkutan awam itu.

 

Tiada tarikh akhir tepat dinyatakan di dalam kenyataan dikeluarkan oleh Prasarana itu, namun keputusan mengejut itu sudah pasti mengundang pelbagai spekulasi dan reaksi daripada industri.

 

Isu-isu pengangkutan awam seperti kekerapan rosak dan kelewatan menimbulkan rungutan dan kritikan ramai pengguna sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan.

 

Sementara itu dalam kenyataan itu juga Prasarana memaklumkan keputusan tersebut dibuat atas sebab peribadi, selaras dengan perancangan beliau untuk langkah kerjaya seterusnya.

 

Amir menyertai Prasarana pada 2019 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, operasi serta strategi korporat.

 

Beliau sebelum ini telah memegang beberapa jawatan di dalam Prasarana termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.

 

"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Amir memainkan peranan penting dalam memacu pelbagai inisiatif transformasi serta memperkukuh operasi syarikat, khususnya dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat.

 

“Beliau turut menyumbang secara signifikan dalam memastikan operasi Prasarana terus relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran industri,” menurut kenyataan itu lagi.

 

Prasarana turut merakamkan penghargaan atas sumbangan serta kepimpinan beliau sepanjang menerajui kumpulan tersebut.

 

Menurut Prasarana, maklumat lanjut berhubung kesinambungan kepimpinan syarikat akan diumumkan melalui saluran komunikasi rasmi dari semasa ke semasa. - DagangNews.com