AmInvest: Usaha penanaman semula diramal tidak jejaskan prospek keseluruhan Johor Plantations | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvest: Usaha penanaman semula diramal tidak jejaskan prospek keseluruhan Johor Plantations

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 April — Jangkaan pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang kekal stabil berikutan kerja penanaman semula tidak menjejaskan prospek keseluruhan Johor Plantations Group Berhad (JPG).


Sebaliknya menurut AmInvestment Bank (AmInvest), peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) serta potensi tenaga boleh diperbaharui (RE) menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan itu.


Katanya, pengeluaran MSM dijangka meningkat sedikit disokong pembelian TBS daripada pekebun kecil, selain keadaan cuaca yang kembali pulih sejak akhir Mac 2026 selepas tempoh kering awal tahun.


"Justeru kami mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM2.12 sesaham berbanding RM2.08 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 15 kali bagi unjuran FY27," jelasnya.


Penilaian itu ujar AmInvest, setara dengan Genting Plantations Berhad, setelah diambil kira lokasi strategik ladang kelapa sawit JPG di Johor, yang menyokong potensi pertumbuhan jangka panjang.


Dalam perkembangan lain tambah firma penyelidikan tersebut, kilang penapisan minyak sawit milik bersama syarikat ketika ini 70% siap dan dijangka beroperasi penuh menjelang suku ketiga FY26. 

 

Johor Plantations_DagangNews

 

Dengan kapasiti tahunan yang mampu mencecah 150,000 tan, kemudahan baharu itu berpotensi menjana keuntungan bersih sekitar RM3.8 juta setahun, dengan bahagian kumpulan itu dianggarkan RM1.9 juta.


"Selain itu, loji jana kuasa biojisim turut dijadual siap tahun ini, dengan JPG merancang untuk menjual kira-kira 3MW daripada kapasiti 15MW kepada utiliti tenaga utama negara," kata AmInvest.


Firma itu turut melihat potensi peningkatan daripada operasi biometana yang kini hanya beroperasi pada 20% kapasiti, dan berpotensi menjana hasil apabila mencapai kapasiti penuh menjelang FY27.


Tambahnya, unit tersebut berpotensi meraih pendapatan sekitar RM14 juta setahun, dan pada masa sama, syarikat berkenaan juga memperuntukkan kira-kira RM600 juta bagi perbelanjaan modal (capex).


Separuh daripadanya disalurkan JPG kepada segmen huluan termasuk naik taraf kilang minyak sawit, manakala bakinya untuk pembangunan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu di Sedili, Johor.

 

"Secara keseluruhan, kami berpandangan langkah pengembangan dan pemodenan aset ini akan terus menyokong daya saing serta pertumbuhan jangka panjang," jelas AmInvest. - DagangNews.com