Amerika Syarikat akan serah secara rasmi kapal peronda terpakai 57 tahun kepada APMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amerika Syarikat akan serah secara rasmi kapal peronda terpakai 57 tahun kepada APMM

Kapal peronda terpakai bekas milik USCG ini akan menjadi aset baharu APMM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 2 Sept - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menerima kapal Ex-USCG Cutter Steadfast apabila diserahkan secara rasmi kepada agensi tersebut di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) bulan ini.

 

Difahamkan, upacara penyerahan kapal peronda terpakai milik Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) melibatkan kehadiran pegawai tertinggi kedua-dua pihak.

 

Seterusnya, kapal tersebut akan dibawa belayar pulang ke tanah air oleh pegawai dan kru APMM yang telah menjalani latihan pengendalian di sana.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kapal dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan November termasuk singgah di beberapa pelabuhan luar negara sepanjang pelayaran.

 

Kapal
Walaupun berusia 57 tahun tetapi kapal Ex-USCG Cutter Steadfast ini masih dalam keadaan baik kerana penyelenggaraan rapi.

 

Kapal

 

Seramai 46 pegawai dan anggota APMM telah berada di Baltimore, AS sejak Julai lalu bagi menjalankan misi penting membawa pulang kapal Ex-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.

 

Pasukan ini merupakan kru pertama kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu APMM, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

 

Sepanjang di Baltimore, kru APMM juga didedahkan dengan siri latihan keselamatan dan kawalan kebakaran di bawah kendalian pegawai USCG.

 

Selain kumpulan ini, 4 kru lain pula telah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal sebagai persiapan sebelum pelayaran pulang.

 

Kapal
Sebahagian daripada pegawai dan anggota APMM yang menjalani latihan di Baltimore, AS sebagai persediaan membawa pulang kapal tersebut.

 

Kapal

 

Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast merupakan sumbangan AS kepada kerajaan Malaysia bagi memperkukuhkan kawalan maritim negara.

 

Kapal peronda berusia 57 tahun itu adalah satu daripada 2 buah kapal yang ditawarkan USCG kepada Malaysia pada tahun 2023.

 

Tawaran itu dibuat semasa lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke beberapa agensi di AS, antaranya USCG. 

 

Sumbangan aset kepada Malaysia ini sebagai tanda dekatnya kerjasama termasuk perkongsian maklumat, kepakaran dan pengalaman sempadan laut yang luas antara kedua-dua negara.

 

Walaupun telah berusia tetapi kapal peronda kelas Reliance ini dalam berkeadaan baik kerana penyelenggaraan yang bagus. 

 

Kapal
Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast mempunyai geladak pendaratan helikopter yang mana ia memberi kelebihan kepada APMM semasa operasi.

 

Kapal

 

Memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar, kapal Ex-USCG Cutter Steadfast seberat 1,100 tan ini mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knots. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sebagai kapal peronda maritim, ia dilengkapi dengan persenjataan iaitu selaras meriam kaliber ringan Mk 38 25mm chain gun dan dua laras mesingan berat M2HB. 

 

Kapal ini juga mempunyai geladak pendaratan untuk membawa sebuah helikopter saiz sederhana yang mana ini memberi kelebihan kepada APMM apabila dioperasikan.  - DagangNews.com