KUALA LUMPUR 30 Okt – AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatat pendapatan hartanah bersih (NPI) tertinggi iaitu RM14.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2025 (2QFY26).
Ia meningkat 22.5% berbanding RM11.7 juta setahun sebelumnya, didorong oleh pendapatan tambahan daripada empat hartanah industri baharu antara 4QFY25 hingga 2QFY26 dan penyewaan positif.
Berdasarkan perkembangan positif itu, pemegang unit syarikat amanah pelaburan hartanah (REIT) itu akan menerima 99.8% daripada agihan pendapatan, bersamaan pengagihan per unit (DPU) 2.16 sen.
"Ia dijadualkan dibayar pada 10 Disember 2025 kepada mereka yang tersenarai dalam Rekod Pemegang Unit pada 18 November 2025," menurut AME REIT dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chan Wai Leo berkata, NPI yang mengatasi rekod dicatatkan sebelum ini membuktikan kejayaan strategi pengambilalihan yang menambah hasil syarikat itu secara konsisten.
Tambah beliau, kadar penyewaan 100% dan pelarasan sewa yang positif turut menekankan ketahanan portfolio dengan AME REIT bersedia memanfaatkan aliran pelaburan langsung asing dan domestik.
Bagi tempoh 1H26 jelasnya, NPI berjaya meningkat 17.1% kepada RM27.1 juta daripada RM23.1 juta, manakala jumlah DPU bagi enam bulan pertama pula berjumlah 4.12 sen, yang bersamaan RM21.8 juta.
"Portfolio AME REIT ketika ini sudah merangkumi 38 hartanah industri dan 3 asrama pekerja, dengan jumlah ruang boleh disewakan 213,677 meter persegi, terletak di banyak kawasan," kata Wai Leo.
Antaranya ujarnya, ialah i-Park @ Indahpura, i-Park @ Senai Airport City, i-Park @ SILC, dan i-TechValley at SILC, yang mencatatkan nilai pasaran keseluruhan mencecah sebanyak RM832 juta.
Daripada tujuh hartanah yang dijadualkan diperoleh daripada penaja AME Elite Consortium Berhad, lima sudah siap, termasuk i-TechValley 36, manakala dua dijangka selesai menjelang 31 Mac 2026.
AME REIT menumpukan pelaburan hartanah patuh Syariah untuk tujuan industri, dengan matlamat menyediakan pemegang unit pendapatan stabil dan pertumbuhan nilai aset jangka panjang. - DagangNews.com








