AME Elite mampu cecah jualan RM400 juta pada FY26, sasar projek GDV RM3.5 bilion – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME Elite mampu cecah jualan RM400 juta pada FY26, sasar projek GDV RM3.5 bilion – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 SeptAME Elite Consortium Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi kukuh apabila merekodkan jualan baharu sebanyak RM110.5 juta pada suku pertama (1QFY26).


Phillip Capital berkata, situasi positif tersebut meletakkan penyedia rumusan industri bersepadu berkenaan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunan mencecah RM400 juta.


Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.00 sesaham, berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP).


"Jualan baharu AME Elite sebahagian besarnya disumbangkan oleh kejayaan menarik pelabur asing, termasuk syarikat pengeluar optik dari China berjumlah RM37 juta, kata firma itu dalam notanya.


Selain itu tambahnya, syarikat pembungkusan perubatan dari Jepun (RM19 juta) hadir dalam kawasan pembangunan i-TechValley yang mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.


Tambah Phillip Capital, sementara itu, projek baharu Northern TechValley dengan GDV berjumlah RM1.3 bilion pula sudah pun berjaya mencatatkan jualan RM25.8 juta dalam suku pertama tersebut.


Menurut firma itu, bagi menyokong momentum jualan secara berterusan, pembinaan jejambat masuk ke kawasan berkenaan telah dimulakan, yang bakal meningkatkan kebolehcapaian kawasan tersebut.


"Bagi memperkukuh saluran projek masa depan, AME Elite kini dalam peringkat akhir pemerolehan tanah strategik di Ijok, Selangor yang dianggarkan membawa potensi GDV RM1.3 bilion," katanya.


Transaksi terbaharu itu tambah Phillip Capital, dijangka dimuktamadkan oleh kumpulan berkenaan pada Oktober 2025, namun masih lagi tertakluk kepada proses kelulusan penukaran guna tanah.


Kata firma tersebut lagi, jika sudah selesai, keseluruhan saluran GDV kumpulan berkenaan akan meningkat pula kepada RM3.5 bilion, yang mewakili peningkatan sebanyak 59% berbanding sebelumnya.


Sementara itu, memorandum persefahaman AME Elite dengan Sime Darby Property untuk pembangunan tanah seluas 260 hektar di Kulai, Johor, masih berada di peringkat awal kajian kebolehlaksanaan.


"Ia telah menerima bayaran akhir jualan tanah bernilai RM210 juta oleh DC Hyperspace pada Ogos 2025, yang menjana keuntungan sekali sebanyak RM85 juta dalam 2QFY26," kata Phillip Capital.


Justeru tambah firma itu, pihak pengurusan kumpulan berkenaan turut mempertimbangkan dividen khas, yang boleh memberikan potensi kenaikan kepada unjuran dividen FY26 sebanyak 6 sen sesaham.


Dalam segmen pembinaan dan kejuruteraan, AME Elite menambah kontrak bernilai RM169 juta pada 1QFY26, meningkatkan buku tempahan semasa kepada RM255.9 juta, naik 19% secara tahunan (YoY).


Phillip Capital kekal optimis terhadap prospek syarikat, terutama dengan permintaan tinggi bagi hartanah industri di hab pelaburan langsung asing (FDI) utama seperti Johor dan Pulau Pinang.


“Kami percaya AME Elite berada pada kedudukan strategik untuk meraih permintaan tambahan, sejajar dengan pemulihan sentimen pelaburan pasca ketetapan tarif Amerika Syarikat (AS),” ulas firma itu.


Dengan pertumbuhan jualan yang mantap, keuntungan luar biasa daripada penjualan tanah, serta prospek GDV, syarikat itu kekal sebagai kaunter pilihan dalam sektor hartanah industri.


Bagaimanapun kata Phillip Capital, risiko utama termasuk ketidakpastian dasar tarif AS dan kelewatan dalam kelulusan penukaran tanah yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek. - DagangNews.com