KUALA LUMPUR 22 Dis — AME Elite Consortium Berhad menjual lima hartanah perindustrian berprestasi tinggi yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bernilai RM220.8 juta.
Ia susulan pemeteraian lima perjanjian jual beli (SPA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pentagon Land Sdn Bhd dan Greenhill SILC Sdn Bhd dengan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) hari ini.
Mtrustee Berhad selaku pemegang amanah CLMT, dan SPA itu melibatkan kilang sesebuah setingkat dengan pejabat dua tingkat di taman perindustrian utama kumpulan, i-TechValley di Iskandar Puteri, Johor.
"Hartanah berkenaan dibina atas 6.9 hektar tanah dengan keluasan binaan keseluruhan 48,688 meter persegi, dan akan diserah dalam keadaan sedia diduduki," maklum AME Elite kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, aset tersebut akan diberikan secara berperingkat antara 2027 hingga 2028, dan dengan penjualan ini, kumpulan tersebut sudah berjaya melepasi sasaran jualan FY26 sebanyak RM400 juta.
Kawasan i-TechValley jelasnya, merupakan taman perindustrian bersepadu seluas 68.8 hektar yang menampilkan pelbagai infrastruktur bertaraf dunia serta persekitaran kerja hijau dan mampan.
Ia terletak kira-kira 20 minit dari Link Kedua Malaysia–Singapura, menawarkan akses strategik ke lebuh raya dan pelabuhan, menjadikannya hab pilihan operasi industri bernilai tinggi dalam JS-SEZ.
"Selain itu, AME Elite turut membangunkan i-Park @ Senai Airport City di Johor dan Northern TechValley @ BKE di Pulau Pinang, serta sedang memperluas kehadiran di wilayah tengah," katanya.
Ini jelas kumpulan berkenaan, termasuk menerusi beberapa projek usaha sama dengan Kuala Lumpur Kepong Land bagi mereka dapat membangunkan taman perindustrian berkeluasan 62 hektar di Selangor.
AME Elite menjangkakan transaksi tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 dan seterusnya. - DagangNews.com








