KUALA LUMPUR 27 April - Syarikat penyelesaian pembungkusan global, Amcor, telah membuka sebuah fasiliti salutan pembungkusan penjagaan kesihatan berteknologi tinggi di Subang Jaya, Selangor yang melibatkan pelaburan melebihi AS$35 juta (RM138 juta).
Fasiliti baharu itu dibangunkan dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sekali gus menandakan pengembangan ketara operasi pembuatan Amcor di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Menurut MIDA, kemudahan berkenaan memperkenalkan teknologi salutan “air-knife” ke rantau ini bagi pengeluaran kertas perubatan bersalut yang digunakan dalam pembungkusan peranti perubatan steril.
“Pelaburan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bersepadu bagi pembungkusan penjagaan kesihatan, di samping meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui akses pengeluaran tempatan,” kata MIDA dalam satu kenyataan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan Amcor mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat strategik pembuatan berteknologi tinggi di rantau ini.
“Selain menambah kapasiti, fasiliti ini turut memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tempatan, mempercepatkan penerapan teknologi serta menyokong pembangunan bakat tempatan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Aspirasi Pelaburan Nasional,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amcor Flexibles Asia Pacific, Chris Kenneally berkata fasiliti tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong sektor penjagaan kesihatan di rantau Asia Pasifik.
“Ia juga menunjukkan kekuatan rangkaian global kami dalam membawa keupayaan termaju ke rantau ini serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.
MIDA berkata pelaburan Amcor turut menambah kepada aliran pelaburan berkualiti tinggi dalam industri peranti perubatan negara.
Pada 2025, Malaysia telah meluluskan pelaburan berjumlah RM152 juta dalam sektor peranti perubatan, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap negara ini sebagai hab pembuatan pilihan bagi industri penjagaan kesihatan. - BERNAMA








