Ambang SST perlu dinaikkan lebih tinggi sebagai melindungi PKS, kata Samenta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambang SST perlu dinaikkan lebih tinggi sebagai melindungi PKS, kata Samenta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mencadangkan agar kerajaan menaikkan ambang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan baru-baru ini daripada RM500,000 kepada RM2 juta dalam perolehan tahunan.


Presidennya, Datuk William Ng berkata,  langkah tersebut juga dijangka dapat menyokong pengecualian secara lengkap melindungi sebahagian besar perniagaan bersifat mikro dan kecil, yang selama ini membentuk tulang belakang kepada landskap keusahawanan Malaysia sendiri.


Kerajaan katanya, wajar menyemak segera rangka kerja percukaian berkenaan serta memberi amaran bahawa struktur semasa ambang itu boleh menjejaskan keuntungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan ketara selain dibimbangi ia akan menaikkan pula harga pengguna.


"Kenaikan ambang ini akan memastikan hanya perusahaan lebih besar dimasukkan liputan skop cukai tersebut," kata William dalam kenyataan sambil mengakui keperluan kerajaan bagi meningkatkan hasil fiskal tetapi melahirkan kebimbangan mengenai pelaksanaan perluasan SST.


PKS tambahnya, sudah bergelut dengan kos input tinggi, permintaan lemah pengguna, dan penurunan tempahan luar selain kesan buruk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS)  yang boleh menghakis daya saing eksport Malaysia serta mendedahkan PKS kepada langkah balas.


Berdasarkan latar belakang situasi itu kata William, pengembangan SST tanpa pengecualian secara mencukupi atau kadar ambang lebih tinggi untuk PKS tertentu dikhuatiri berisiko menambahkan lagi beban kos kepada perniagaan yang kurang bersedia untuk menyerapnya.


"Impak ini tidak terhad kepada kos bahan mentah tetapi meluas kepada perkhidmatan sewa dan perniagaan ke perniagaan yang berada di bawah skop diperluaskan SST. Kesan peningkatan ini hampir pasti kena kepada pengguna, seterusnya meningkatkan kos sara hidup," katanya.


Samenta juga kata William mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) segera mengeluarkan garis panduan khusus bagi membantu PKS memahami kewajipan mereka di bawah SST yang diperluaskan kerana banyak perniagaan kekurangan sumber untuk melibatkan perunding cukai.


Mereka menghadapi risiko ketidakpatuhan secara tidak sengaja, walaupun dengan tempoh penangguhan sehingga akhir 2025 dan JKDM digesa menjelaskan masa permohonan sama ada SST dikenakan berdasarkan tarikh invois atau kutipan pembayaran ketika tempoh peralihan.


"Banyak PKS mengeluarkan invois sebelum 1 Julai 2025, dan ini mewujudkan kesamaran mengenai liabiliti cukai, namun Samenta menyokong pembangunan rangka kerja percukaian adil, progresif dan telus yang meluaskan asas sambil melindungi aset keusahawanan negara," katanya.


Ia berikutan ketidaktentuan global semakin meningkat dan kerapuhan ekonomi domestik iaitu faktor yang tidak begitu ketara ketika Belanjawan 2025 dibentangkan dengan Samenta percaya bahawa ambang pengecualian lebih tinggi untuk PKS adalah berhemat dari segi ekonomi. - DagangNews.com