KUALA LUMPUR 24 Jan - AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, syarikat pengurusan AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menerusi Pacific Trustees Bhd membatalkan perjanjian jual beli (SPA) dengan 4X Software Sdn Bhd bagi pelupusan bangunan Contraves yang terletak di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta.
Pembatalan itu berlaku selepas pembeli tidak dapat memenuhi syarat-syarat ditetapkan dalam tempoh yang dipersetujui, berakhir pada 26 Disember 2024.
Ia bagaimanapun tidak memberi kesan material terhadap prestasi mereka setakat 31 Disember 2024.
Pengurusan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn Bhd sebagai Pengurus Amanah berkata, pembatalan SPA untuk bangunan Contraves tidak boleh ipandang ringan kerana ia mencerminkan tanggungjawab AmanahRaya REIT demi menjaga kepentingan pemegang unitnya dan memberi fokus kepada pertumbuhan strategik.
"Kami kekal komited untuk mengejar peluang yang meningkatkan nilai portfolio dan menyokong pertumbuhan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: AmanahRaya REIT lupus bangunan Contraves di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta kepada 4X Software
Selaras dengan pengumuman itu, AmanahRaya REIT berbesar hati untuk berkongsi bahawa ia sedang dalam usaha memperoleh aset yang mampan untuk menambah baik pengagihan seunit (DPU).
Pendekatan proaktif itu katanya, menekankan dedikasi AmanahRaya REIT untuk mengoptimumkan portfolionya dan menyampaikan nilai terbaik kepada pemegang unitnya.
Terdahulu, perjanjian penjualan bangunan itu dibuat selepas mereka percaya sudah memaksimumkan potensi penjanaan pendapatan daripadanya selepas lapan tahun memiliki asset tersebut.
Ketika itu juga, AmanahRaya REIT melihat, terdapat peningkatan terhad untuk pertumbuhan sewa masa hadapan dalam kapasiti semasanya sebagai pasaran pejabat biasa yang kini berada dalam situasi lebihan bekalan.
Memandangkan harga yang menggalakkan bagi penjualan aset itu, ia adalah masa yang sesuai untuk melupuskan hartanah itu dan menggunakan semula modal ke arah hartanah yang berpotensi menjana hasil.- DagangNews.com








