KUALA LUMPUR 1 April - Kerajaan menggesa orang ramai mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana dan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, langkah itu termasuk bersederhana dalam merancang perjalanan, mengurus perbelanjaan serta menggunakan elektrik dengan lebih cekap di rumah dan di pejabat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga jawatankuasa khas mengenai Keselamatan Tenaga dan Impak Konflik Asia Barat pada Selasa, yang membincangkan dapatan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Konflik di Asia Barat terus memuncak dan tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan dan implikasi besar kepada tenaga, rantaian bekalan serta ekonomi global,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau.
Amir berkata, usaha kerajaan turut mengambil kira kebajikan rakyat serta kelestarian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus bertindak secara proaktif berdasarkan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan daripada pemain industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menangani krisis tenaga global.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap pendekatan yang diambil adalah menyeluruh, seimbang dan berkesan. - DagangNews.com








