Alpro, Matrix Concepts, Mercy Senior Care bina pusat jagaan kejururawatan lengkap 130 katil di Sendayan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alpro, Matrix Concepts, Mercy Senior Care bina pusat jagaan kejururawatan lengkap 130 katil di Sendayan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Okt – Alpro Group bersama-sama Matrix Concepts Holdings Berhad dan Mercy Senior Care Centre Sdn Bhd menubuhkan sebuah pusat jagaan kejururawatan di Suria Heights, Sendayan.


Langkah strategik berkenaan menyatukan pelbagai kepakaran dalam penjagaan kesihatan, pembangunan komuniti dan perkhidmatan kejururawatan profesional yang serba lengkap di Negeri Sembilan.


Kemudahan moden ini bakal menempatkan 130 katil, direka khusus penjagaan kejururawatan berlesen dan pemulihan pesakit terlantar, individu pasca pembedahan, serta pemantauan selepas keluar hospital.


"Ia akan beroperasi di bawah kelulusan dan pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mematuhi semua piawaian penjagaan kesihatan kebangsaan," kata Alpro dalam satu kenyataan bersama.


Projek itu jelasnya, menggabungkan kepakaran Matrix Concepts dalam pembangunan berasaskan komuniti strategik serta pengalaman penjagaan jangka panjang Mercy Senior Care selama hampir tiga dekad.


Sementara Alpro pula yang ditubuhkan pada 2002, terkenal dengan memiliki tahap ekosistem kesihatan menyeluruh melibatkan rangkaian klinik, farmasi, fisioterapi, pemakanan dan penjagaan primer.


Justeru, dengan gabungan pembangunan komuniti, rawatan klinikal dan nilai kemanusiaan, fasiliti berkenaan dijangka menjadi model rujukan nasional dalam penjagaan kejururawatan profesional.


"Pusat ini bakal menyediakan rumusan penjagaan transisi dari hospital ke rumah secara menyeluruh, dengan pendekatan berperikemanusiaan, menyokong pemulihan klinikal dalam suasana mesra," katanya.


Perkembangan ini selaras dengan unjuran Malaysia yang dijangka mencapai status negara berusia tua menjelang 2030, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap fasiliti penjagaan jangka panjang.


Pusat baharu ini bukan sekadar memenuhi keperluan, malah selaras dengan dasar KKM dalam penjagaan warga emas yang menekankan pemantauan perubatan, keselamatan pesakit, dan pemulihan menyeluruh.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Matrix Concepts, Chai Keng Wai, menyifatkan projek terbaharu ini sebagai bentuk kerjasama pelaburan bermakna dalam aspek kesejahteraan masyarakat.


“Kami sedang membina satu persekitaran dengan masyarakat boleh hidup secara positif, berkembang baik dan terus meniti usia tua mereka yang lebih bermaruah,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Pengarah Urusan Mercy Senior Care, Cynthia Low pula menegaskan misi sejak 28 tahun lalu kekal utuh menyediakan penjagaan penuh kasih sayang dan profesional bagi warga emas dan pesakit pemulihan.


Kerjasama ini menjadi bukti yang isu penjagaan kesihatan moden memerlukan pendekatan bersepadu, bermula dari infrastruktur, kepakaran klinikal hingga empati terhadap keperluan sebenar manusia.


“Usaha sama julung kali ini turut membolehkan syarikat kami dapat melanjutkan misi tersebut secara lebih sistematik dan berkesan kepada penduduk yang memerlukan perkhidmatan terbaik,” ujar beliau.


Dalam pada itu, Pengarah Perubatan Alpro Clinic, Dr Ng Ming Lee menekankan keperluan kritikal bagi penjagaan secara berterusan selepas pesakit keluar hospital yang jarang diberikan perhatian rapi.


Ia turut dijangka memperkukuhkan jaringan kesihatan komuniti serta memudahkan akses luas kepada penjagaan pasca hospital bagi keluarga yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.


“Ramai kembali ke klinik kami mencari bantuan. Apa yang mereka perlukan ialah tempat selamat dan profesional untuk pemulihan. Pusat ini adalah jawapan kepada keperluan itu,”* jelas beliau. - DagangNews.com