Alpha IVF catat untung bersih RM12.2 juta bagi 3QFY26 dipacu peningkatan pesakit rawatan kesuburan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alpha IVF catat untung bersih RM12.2 juta bagi 3QFY26 dipacu peningkatan pesakit rawatan kesuburan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 AprilAlpha IVF Group Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kira-kira 0.58% kepada sebanyak RM12.16 juta bagi tempoh suku ketiga berakhir 28 Februari 2026 (3QFY26).


Kenaikan ini didorong oleh peningkatan jualan dalam perkhidmatan bantuan reproduktif, khususnya daripada pesakit tempatan dan dari China di pusat-pusat perubatan yang diuruskannya di Malaysia.


Tambah kumpulan berkenaan, pendapatan bagi tiga bulan di bawah tinjauan itu turut melonjak kira-kira 16.06% kepada RM47.12 juta berbanding RM40.60 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.


"Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan yang semakin kukuh terhadap rawatan persenyawaan secara in-vitro (IVF) yang menjadi teras perniagaan utama kami," maklum Alpha IVH kepada Bursa Malaysia.


Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan yang berakhir 28 Februari 2026, ia mencatatkan hasil mencecah sebanyak RM146.52 juta, meningkat daripada RM126.84 juta dalam tempoh sama bagi tahun sebelumnya.


Bagaimanapun jelas kumpulan berkenaan, keuntungan bersih bagi tempoh terkumpul tersebut adalah susut kepada hanya sebanyak RM39.38 juta berbanding kira-kira RM42.31 juta dicatatkan sebelum ini. 


Penurunan angka untung bersih kumulatif itu ujar Alpha IVF, disebabkan oleh faktor peningkatan kos praoperasi berkaitan dengan beberapa inisiatif pengembangan kumpulan yang sedang dilaksanakan.


"Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal fokus kepada strategi pengembangan di pasaran domestik dan serantau, dengan pusat IVF baharu di Sabah dan Filipina menunjukkan permulaan positif," ujarnya.


Justeru katanya, situasi itu dijangka menyumbang secara lebih bermakna pada tempoh suku yang berikutnya, selain kumpulan sedang aktif membangunkan pusat IVF tambahan di Johor dan Filipina.


Ia dijangka beroperasi pada separuh pertama tahun kewangan 2027, di samping usaha pengembangan Alpha IVF di Indonesia turut dipergiat dengan pembangunan pusat baharu di Jakarta dan Bali.


Pengurusan kumpulan itu yakin permintaan terhadap Perkhidmatan Bantuan Reproduktif (ARS) kekal berdaya tahan, disokong oleh trend kelewatan keibubapaan dan penurunan kadar kesuburan ketika ini.


"Walaupun hasil jangka pendek mungkin terkesan oleh kos pembukaan pusat baharu, kumpulan optimis prestasi bertambah baik apabila fasiliti ini matang dan kadar penggunaan meningkat," katanya. - DagangNews.com