Aliran arus antara pencawang, rintangan tanah tinggi punca blackout di Terminal 2 KLIA – MOT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran arus antara pencawang, rintangan tanah tinggi punca blackout di Terminal 2 KLIA – MOT

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Sept – Gangguan bekalan elektrik di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Ogos 2025 berpunca daripada masalah aliran arus elektrik antara pencawang.


Kementerian Pengangkutan (MOT) turut mengesahkan yang keadaan tersebut diburukkan lagi oleh rintangan tanah tinggi, berdasarkan siasatan teknikal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).


Tambahnya, ia mendapati peredaran arus tersebut menyebabkan kepanasan melampau pada hujung kabel, sehingga mencetuskan litar pintas di terminal berkenaan sebelum masalah itu berjaya dipulihkan.


“MAHB mengenal pasti punca utama ialah arus elektrik yang beredar sepanjang kabel menghubungkan pencawang utama 33kV dengan pencawang kecil 11kV di Terminal 2 KLIA," kata MOT dalam kenyataan.


Keadaan tersebut mengakibatkan hujung kabel menjadi terlalu panas dan akhirnya berlaku gangguan tenaga, manakala arus berlebihan didapati tidak dapat dialirkan dengan berkesan ke dalam tanah pula.


Masalah berkenaan kata MOT, berpunca daripada faktor rintangan tanah yang agak tinggi di kawasan terminal tersebut, sekali gus menambahkan lagi isu tekanan haba terhadap kabel perlindungan.


Susulan insiden litar pintas itu, pasukan teknikal MAHB segera melaksanakan beberapa tindakan pembaikan termasuk membaiki semua penyambung kabel dan memasang perintang voltan selongsong.


"Ia dilaksanakan di titik sambungan bersilang bagi mengurangkan arus yang bergerak serta mengkaji kembali dengan melakukan konfigurasi semula ke atas sistem pembumian," jelas kementerian tersebut.


MOT menambah, aspek penyelenggaraan juga sudah diperkukuhkan dengan rapi melalui ujian nyahcas separa serta pemeriksaan termografik terhadap kabel tenaga elektrik di keseluruhan Terminal 2.


Selain itu, MAHB sedang meneliti beberapa langkah jangka panjang termasuk kajian keberdayaan untuk pemasangan Sistem Suis Pemindahan Automatik (ATS) bagi mempercepat bekalan tenaga sandaran.


Pada masa sama, kumpulan tersebut berusaha melaksanakan usaha pengoptimuman penggunaan penjana untuk melindungi segala perkhidmatan kritikal sekiranya berlaku litar pintas secara tiba-tiba.


"Jadual penyelenggaraan penjana di Gateway@klia2 juga akan dipendekkan daripada setiap tiga bulan kepada setiap dua bulan bagi meningkatkan kesiapsiagaan sistem sokongan tenaga," kata MOT.


MAHB turut merancang teliti kajian resistiviti tanah  di sepanjang laluan kabel, termasuk analisis bermusim bagi menambah baik sistem pembumian serta mengurangkan lagi risiko arus pada masa depan.


Justeru, MOT menegaskan tiada operasi kritikal lapangan terbang yang terjejas sepanjang insiden pada 28 Ogos 2025, kerana sistem penting serta penjana sandaran berjaya diaktifkan serta-merta.


“Kabinet sudah mengambil maklum laporan teknikal MAHB, dan fokus kerajaan kini adalah kepada pelaksanaan langkah pencegahan berkesan bagi mengelakkan kejadian berulang,” tambah kenyataan itu.


MOT turut mengulangi komitmen kerajaan untuk terus memantau pelaksanaan susulan oleh MAHB agar sistem operasi KLIA kekal selamat, efisien dan boleh dipercayai. - DagangNews.com