Alipay+ pacu PKS jana lebih 80% pembayaran QR rentas sempadan melalui DuitNow | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alipay+ pacu PKS jana lebih 80% pembayaran QR rentas sempadan melalui DuitNow

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Mac — Sepanjang tahun penuh pertama kerjasama pada 2024, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Ant International mencipta peluang ekonomi baharu bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia menerusi Alipay+.
 

Platform itu menjadi penyumbang utama, merangkumi lebih 80 peratus daripada pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan melalui aplikasi DuitNow dengan musim kemuncak pada Disember 2024, melonjak sehingga enam kali ganda berbanding tempoh sama pada 2023.
 

Ant International merupakan penyedia pembayaran digital, pendigitalan, dan teknologi kewangan global utama dan sejak Oktober 2023, ia mewujudkan sistem dompet digital bersatu yang menawarkan perkhidmatan pembayaran digital rentas sempadan di bawah Alipay+.

 

Sistem ini diaktifkan melalui DuitNow, membolehkan PKS di Malaysia menerima pembayaran secara QR daripada pelancong antarabangsa dan sejak itu, jumlah rakan pembayaran Alipay+ yang menyokong transaksi ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 15 aplikasi global serta membawa lebih ramai pelanggan kepada PKS Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 


Antara rakan pembayaran Alipay+ yang boleh digunakan di Malaysia termasuk: Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong SAR, China), MPay (Macao SAR, China), TrueMoney, KBank (Thailand), Changi Pay (Singapura), Hipay (Mongolia), HelloMoney dan GCash (Filipina), Tinaba (Itali), Kaspi (Kazakhstan), BigPay (Singapura dan Thailand), Kakao Pay, Naver Pay, serta Toss (Korea Selatan).


“Sebagai rangkaian di Malaysia, PayNet komited dalam membangunkan ekosistem pembayaran yang terbuka dan lancar bagi membantu perniagaan berkembang maju,” kata Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh. 


Kerjasama dengan Ant International telah mempertingkatkan penerimaan pembayaran rentas sempadan bagi peniaga tempatan, membolehkan mereka memanfaatkan gelombang pelancong global yang semakin meningkat.


Dengan Alipay+ sebagai pemangkin, DuitNow QR memperkasakan PKS untuk bersaing di peringkat antarabangsa, yang sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serta lokasi beli-belah.


Berbekalkan Alipay+, pelancong dari 10 negara dan wilayah kini boleh membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi pembayaran negara asal mereka di lebih 2.5 juta premis penerimaan DuitNow QR di Malaysia dengan hanya dengan mengimbas DuitNow QR.


Sepanjang 2024, jumlah transaksi Alipay+ melalui DuitNow QR mencatatkan pertumbuhan purata sebanyak 50 peratus setiap suku tahun, menjadikan Alipay+ sebagai penyumbang terbesar bagi pembayaran QR rentas sempadan di Malaysia, serta membantu peniaga memanfaatkan pertumbuhan pelancongan.


“Kami sentiasa percaya pada kuasa pelancongan dalam menghubungkan masyarakat, memupuk pertukaran budaya, dan sebagai pemangkin ekonomi,” kata Pengurus Besar untuk Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, Ant International, Edward Yue.


Dengan Alipay+, katanya, syarikat itu membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berhubung dengan pelanggan global, sekali gus mendorong pertumbuhan yang lebih inklusif dalam komuniti setempat. 


PayNet juga telah membangunkan infrastruktur dan menjalin kerjasama bagi merealisasikan matlamat ini, dan Ant International berbangga dapat bekerjasama bagi membawa pengguna antarabangsa ke dalam ekosistem ini. 


Bagaimanapun langkah itu hanya permulaan kerana pada tahun-tahun akan datang, pihkanya yakin dapat memberikan impak yang lebih besar, menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan global serta merancakkan pertumbuhan perniagaan tempatan. - DagangNews.com